utama

Keajaiban khatam al-Quran [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

SHAH ALAM: "Saya diberitahu oleh keluarga bahawa setiap kali mereka khatam al-Quran, keputusan perubatan saya yang diterima mereka menunjukkan keadaan saya bertambah baik.

"Ia satu keajaiban. Sebelum itu, laporan perubatan harian yang disampaikan pihak kedutaan kepada keluarga menunjukkan saya seolah-olah tiada harapan hidup."

Itu kata Mohd Zaidy Abdul Rahman, 43, bekas pesakit Covid-19 yang dirawat selama 45 hari, termasuk 29 hari koma, di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Houssay, Argentina.

Sekembalinya ke tanah air 1 Syawal lalu, Mohd Zaidy yang dibenarkan keluar wad Hospital Houssay 7 Mei lalu menyifatkan selain kuasa Allah SWT, doa dan hadiah bacaan al-Quran itu sebagai penyebab kesembuhannya.

"Saya tidak tahu pun yang saya dijangkiti Covid-19. Malah, ketika doktor membawa saya untuk ditidurkan, saya masih tidak diberitahu.

"Apabila kembali sedar, barulah saya dimaklumkan yang saya dirawat akibat jangkitan Covid-19," katanya.

Mengimbas kejadian, menurut Mohd Zaidy, ketika tiba di Argentina pada 7 Mac lalu bersama bapa mentuanya, Zaid Abdullah, 69, dan tiga lagi rakan dakwah, mereka tidak perlu menjalani ujian Covid-19.

Katanya, dia adalah pesakit pertama kritikal akibat Covid-19 yang dirawat di Hospital Houssay pada masa itu.

"Kami bertolak dari Malaysia pada 3 Mac, transit di London, United Kingdom (UK) selama tiga hari. Ketika itu, di UK, kes Covid-19 tidak seteruk sekarang.

"Ketika kami tiba di London, tiada yang memakai pelitup muka. Cuaca di London pada paras lima darjah Celsius, sejuk sangat dan kami hanya bawa kelengkapan sesuai untuk cuaca Argentina iaitu sekitar 18 darjah Celsius.

"Mungkin saya mendapat jangkitan ketika di London. Saya sukarela mencari pakaian musim sejuk untuk jemaah, naik tren dan bercampur-gaul dengan ramai orang.

"Selepas itu, saya mula rasa tidak sihat dan ia berlanjutan sehingga dimasukkan ke hospital di Argentina sebelum koma," katanya.

Menurut Mohd Zaidy, isterinya, Zainah Zaid, 40, bercerita, pernah satu tahap, keluarga merasakan dia tidak akan kembali.

"Saya bersyukur kerana dipanjangkan umur oleh Allah SWT, saya juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan dan membantu sepanjang tempoh ini," katanya.

Sementara itu, Zainah berkata, keluarga menerima laporan perubatan Mohd Zaidy setiap hari menerusi aplikasi WhatsApp yang dikirim kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Buenos Aires.

"Dua minggu pertama memang kritikal. Malah, ketika fungsi organ suami merosot, termasuk paru-paru, buah pinggang dan hati, laporan itu menulis keadaannya sangat kritikal.

"Saya terfikir, di Malaysia, pesakit Covid-19 jika meninggal dunia dibungkus khas, tiada sesiapa boleh ziarah, tiada mandi jenazah, solat jenazah pun hanya petugas di bilik mayat berkenaan sahaja.

"Jadi, saya fikir kalau di Malaysia keadaannya seperti itu, apatah lagi di Argentina. Ia bukan negara Islam. Macam mana nak tanam. Selepas itu kita dapat berita ada sesetengah negara bakar jenazah, banyak perkara berlegar di fikiran," katanya.

Menurut Zainah, mereka sekeluarga memulakan bacaan al-Quran ketika minggu kedua Mohd Zaidy kritikal.

"Minggu pertama khatam (al-Quran), terperasan tiada lagi perkataan kritikal dalam laporan perubatan. Minggu kedua khatam keadaannya bertambah baik.

"Selepas kali ketiga kami khatam al-Quran, suami mula buka mata. Saya percaya, selain kuasa Allah SWT, itu antara penyebab suami sembuh.

"Kami memang berniat yang pahala serta kebaikan bacaan al-Quran itu dihadiahkan untuk suami," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 6:45am
d