utama

'Doyok nak biadab pun takut'

Oleh Nurul Amanina Suhaini

KOTA TINGGI: "Nak kurang ajar dengan orang tua pun dia takut, inikan lagi nak merompak bank yang terdapat ramai orang."

Begitu kata abang kepada remaja lelaki berusia 19 tahun yang maut ditembak pengawal keselamatan dalam kejadian rompakan di sebuah bank di Air Tawar 5, di sini, petang kelmarin.

Azhari A Bakar, 31, berkata adik bongsunya, Azhar, 19, yang juga orang kurang upaya (OKU) disleksia disifatkan seorang lurus bendul, menyayangi ibu mereka dan peramah.

Katanya, pada hari kejadian, Azhar yang lebih mesra dipanggil Doyok keluar dari rumah seorang diri kira-kira jam 1 tengah hari dengan memandu Proton Wira tanpa sempat menjamu masakan kari ayam yang dimasak ibu mereka.

"Malam sebelum itu, dia ada maklumkan mahu ke Mersing kata nak ikut kawan pergi cari kerja. Siangnya nampak dia tidak bersiap lagi, mak pun suruh dia keluar beli lauk. Namun, tidak lama selepas itu dia keluar semula.

"Kemudian, polis telefon rumah tanya pasal adik punya kad pengenalan mana...lesen memandu mana. Saya ingatkan dia kena tahan sebab tiada lesen memandu, tetapi dimaklumkan arwah kena tembak.

"Secara fizikal, dia (Azhar) nampak normal. Padahal, baru kelmarin (Rabu lalu) kami menyambut hari jadinya di sebuah restoran makanan laut berhampiran. Dia belanja adik-beradik makan," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Felda Semenchu di sini, semalam.

Katanya, ibu mereka menangis kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa arwah.

"Hati mak mana tidak sedih apabila mendengar khabar berita itu. Mak terduduk, menangis.

"Malah, hati saya juga sakit, orang tuduh...(mereka) tak tahu cerita. Saya tahu ada orang di belakang...dia (Azhar) buat kerja itu bukan seorang, mesti ada kawan yang suruh," katanya.

Katanya, dia rasa amat sedih dengan nasib menimpa adiknya dan tidak sanggup melihat video kejadian yang tular sejak kelmarin.

"Video itu saya tidak mahu tengok, tidak mahu percaya. Satu kampung semua kenal dia...lurus sangat orangnya. Kalau ada majlis rewang (kenduri), dia mesti sukarela bantu orang kampung.

"Saya mengharapkan ada keadilan (siasatan) buatnya. Saya mohon jangan menghukum," katanya.

Ibarat nyawa di hujung sabit

"Nyawa saya ibarat berada di hujung sabit dan hanya Allah SWT sahaja tahu perasaan saya ketika menjadi tebusan dalam rompakan bank di Air Tawar 5 (Kota Tinggi), semalam (kelmarin)."

Pembantu kedai pakaian, Mardiah Mat Ripi, 26, yang dijadikan tebusan berkata, kejadian berlaku begitu pantas kerana tiba-tiba lehernya diacu dengan sabit dan diheret masuk ke bank oleh perompak itu.

Katanya, sebelum itu dia bersandar di dinding di luar bank kerana menunggu ibunya, Ratnah Ahab, 56, berurusan di dalam premis terbabit.

"Saya masih terbayang-bayang insiden itu, rasa takut sangat. Memang nyawa dekat hujung sabit. Hendak lari ke kiri atau ke kanan tidak boleh mahupun nak (tunduk) ke bawah pun tak boleh sebab sabit diletakkan di leher.

"Saya cuma ingat pegawai bank cakap dengan perompak itu...sabar encik, jangan apa-apakan budak (Mardiah).

"Perompak itu cakap, 'aku nak duit, aku pun tak nak buat benda ini, sebenarnya tetapi bos aku suruh'," katanya.

Menurutnya, pelanggan lain yang berada di dalam bank turut bertanya kepada perompak itu selain cuba untuk menenangkan keadaan.

"Bagaimanapun, perompak itu cakap 'aku tak nak buat benda ini, tapi aku terpaksa (sebab) adik aku ada pada dia. Kalau tak dapat duit adik aku mati.'

"Saya rasa lama sabit berada di leher dan ibu saya juga merayu kepada perompak supaya saya tidak dicederakan," katanya.

Mardiah berkata, perompak itu kemudian cuba beralih tebusan kepada ibunya lalu menolaknya, tetapi ibunya yang mengalami sakit kaki pula terjatuh.

"Perompak itu cuba memaksa mak saya untuk berdiri dan ketika dia tunduk untuk membangunkan mak secara paksa, pengawal keselamatan bertindak pantas melepaskan tembakan ke arah
perompak.

"Saya terkejut melihat perompak terbaring. Saya pegang tangan mak dan cakap cepat lari," katanya.

Menurutnya, insiden itu adalah mimpi ngeri dalam hidupnya yang tidak akan dilupa sepanjang hayat.

Katanya, dia amat bersyukur kepada Allah kerana mereka terselamat dalam kejadian berkenaan.

"Saya rasa memang mimpi ngeri sebab selalunya tengok dalam drama sahaja kejadian seperti ini. Rupa jadi pada diri sendiri.

"Saya membayangkan akan mati kena bunuh. Saya bersyukur sangat kerana Allah selamatkan saya dan mak," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang penjenayah maut ditembak pengawal keselamatan di sebuah bank dalam satu insiden rompakan membabitkan tebusan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah dipetik berkata, kes cubaan samun dan cubaan bunuh itu berlaku pada jam 2.04 petang.

Suspek yang bersenjatakan sebilah sabit masuk ke kawasan kaunter bank dan mengacukan senjata di leher seorang wanita tempatan yang juga pelanggan bank terbabit.

Bertindak atas keselamatan pelanggan dan pekerja bank, pengawal keselamatan melepaskan tembakan menggunakan pump gun yang mengenai rusuk kanan suspek.

Suspek kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 6:50am
d