utama

Terurut mangsa covid

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang tukang urut di daerah Empat Lawang, Sumatera Selatan dijangkiti Covid-19 selepas mengurut seorang pesakit virus itu yang lari daripada menjalani kuarantin di hospital.

Difahamkan, ketika sesi urutan dilakukan, tukang urut wanita itu tidak mengetahui pelanggannyadijangkiti virus itu.

Kejadian berlaku apabila pesakit wanita berusia 52 tahun itu melarikan diri ketika dirawat di Hospital Karya Asih, Palembang.

Ketika berada di hospital, pesakit itu menjalani ujian swab pada 3 Jun lalu dan lima hari kemudian disahkan positif virus itu.

Bagaimanapun, pesakit itu menolak dikuarantin dan melarikan diri ke rumah mentuanya di daerah Empat Lawang, 10 Jun lalu.

Tanpa rasa bersalah pesakit itu sempat mendapatkan khidmat urutan dengan seorang warga emas berusia 70 tahun ketika di daerah Empat Lawang.

Malah, dia juga tidak berterus terang dengan warga emas itu yang dia positif Covid-19, menyebabkan tukang urut berkenaan melayaninya seperti biasa.

Bagaimanapun, wanita itu dijemput anggota kesihatan Sumatera Selatan yang bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 daerah Empat Lawang.

Anggota kesihatan ke rumah mentua wanita itu dan memintanya menjalani kuarantin.

"Pesakit diserahkan ke Palembang untuk kuarantin diri," kata jurucakap jawatankuasa khas itu, Dr Arga.

Dr Arga berkata, ujian saringan terhadap kontak rapat wanita itu mendapati tukang urut itu disahkan positif Covid-19.

"Terdapat 26 kontak rapat menjalani ujian calitan dan hasilnya tukang urut itu positif.

"Kini, tukang urut itu menjalani kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat daripada petugas kesihatan," katanya.

Jawatankuasa itu juga melakukan pengesanan kontak rapat terhadap tukang urut itu.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 6:30am
d