utama

16 kes baharu Covid-19

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 16 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu 8,572 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 13 kes baharu yang dilaporkan berkaitan penularan tempatan manakala tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Beliau berkata, sembilan daripada keseluruhan kes penularan tempatan itu membabitkan bukan warga Malaysia dan empat kes di kalangan warga Malaysia.

"Kes jangkitan di kalangan bukan warga Malaysia daripada kluster syarikat pembersihan di Selangor membabitkan dua kontak rapat kes positif Covid-19 (kes ke-8,513).

"Enam kes daripada kluster Pedas dan satu kes daripada saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau sebelum penghantaran pulang ke Indonesia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung kes jangkitan warga Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, dua kes daripada kluster Kidurong iaitu kontak rapat kes ke-8,535.

Katanya, satu kes daripada saringan orang kena tuduh (OKT) yang baharu dimasukkan ke lokap di Melaka dan satu kes saringan pra-pembedahan di hospital di Johor.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat 10 kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 8,156 kes, 95.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Katanya, setakat ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 295 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Setakat dilaporkan hari ini, tiga kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 121 kes iaitu 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 5:55pm
    d