utama

Bapa kejam sembur racun untuk diamkan bayi [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DISEBABKAN tidak tahan mendengar anaknya menangis, seorang bapa tergamak menyembur racun serangga ke muka bayi lelaki itu supaya diam.

Malah, bapa kejam itu turut menampar muka bayi berusia dua bulan dan melambungnya, dalam kejadian di Taman Pauh Indah, Arau, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya sudah menahan suspek berusia 39 tahun susulan laporan daripada doktor di Klinik Kesihatan Arau yang merawat mangsa.

"Kita menerima laporan doktor di Bahagian Ibu dan Anak klinik berkenaan pada 11.30 pagi Jumaat lalu selepas pemeriksaannya mendapati bayi berkenaan kurang aktif dan bibirnya kebiruan.

"Mangsa juga cedera di belakang kepala dan leher selain terdapat kesan kemerahan ditemui di kepalanya.

"Ibu mangsa disoal siasat dan dia mengaku suaminya yang juga ayah kandung bayi itu menyembur racun serangga pada muka dan mencederakan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nanda berkata, suspek ditahan pada hari kejadian dan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah membenarkan tempoh tahanan remannya dilanjutkan sehingga Khamis ini bermula hari ini.

"Mangsa kini dirujuk kepada Pakar Kanak-Kanak Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk pemeriksaan lebih lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Difahamkan mangsa mengalami komplikasi di otak akibat kecederaan yang dialaminya.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 1:25pm
d