utama

Magis figura terkenal

Oleh Sudirman Mohd Tahir

AURA figura terkenal ini tidak pernah malap. Walaupun dihimpit pelbagai kisah kontroversi, nama Datuk Farid Kamil sentiasa meniti dibibir peminat.

Malah, setiap kemunculannya baik dalam lakonan atau pengarahan, Farid memberikan magis tersendiri.

Itu yang membezakan dirinya dengan kebanyakan aktor lain.

Selepas kejayaan drama Lafazkan Kalimah Cintamu yang ditayangkan di Astro Ria pada 2018, Farid kembali menerusi slot sama dalam karya Pelindung Seorang Puteri.

Menariknya, Farid berlakon di samping pelakon hebat, Lisa Surihani selepas lebih lapan tahun tidak bekerjasama.

"Astro akan terbitkan drama berkualiti yang diadaptasi dari novel hebat di pasaran. Kali ini, saya diberi peluang sekali lagi dan digandingkan dengan Lisa yang mana lebih lapan tahun tak bekerjasama.

"Selepas masing-masing berkahwin dan ada keluarga sendiri. Kami digandingkan dalam drama pula," katanya.

Dalam masa sama, Farid juga berkongsi filem arahannya, Remp-It 2 yang dijadual ditayangkan pada 20 Julai ini ditunda ke tahun depan.

"Filem sudah siap dan dapat jadual tayangan pada 20 Julai ini. Tapi, memandangkan pawagam tak buka dan belum ada prosedur operasi standard (SOP) tepat bagi memulakan operasi, jadi kami tunda dulu. Macam filem lain pun sudah tarik tayangan ke tahun depan.

"Apa boleh dikata, filem ini tak akan menjadi 'tikus uji kaji' untuk ditayangkan kerana apa yang saya dengar mengenai SOP daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), ia tak berbaloi dan amat menakutkan dari segi perniagaan.

"Jadi, apa saya cuba buat dan janji akan paparkan juga pada tarikh itu adalah tayangan semula filem Remp-It 13 tahun lalu. Jadi, filem Rempt-It 2 akan dibawa ke tahun depan sebab tak ada siapa penerbit yang berani nak tayang.

"Jangkaan saya, kena tengok panggung di India. Apa saya dengar, 8 Jun lalu sudah mula SOP di panggung mereka. Tengok macam mana maklum balas penonton. Buat masa sekarang, belum ada lagi dengar kluster pawagam di sana.

"Jadi, saya mengharapkan kerajaan, KKM, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan tauke panggung seluruh Malaysia bekerjasama untuk mencari solusi garis panduan yang bertepatan sesuai dan kena dengan situasi di pawagam," katanya.

Selain itu, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, filem terbaharu lakonan Farid iaitu Sumpahan Syaitan terpaksa diberhentikan seketika.

"Insya-Allah, selepas selesai penggambaran drama ini, saya akan sambung semula penggambaran filem Sumpahan Syaitan di Johor.

"Kami baru memulakan penggambaran tiga hari iaitu dalam 10 peratus. Tapi, apabila PKP dilaksanakan semuanya terpaksa diberhentikan seketika," katanya.

Saluran YouTube sendiri

Dalam pada kebanyakan artis lain mewujudkan saluran YouTube sendiri, tidak ketinggalan Farid dan isterinya, pelakon, Datin Diana Daneille terlebih dahulu memiliki platform digital itu.

"Macam kita tahu, sekarang platform media sosial digunakan untuk mendokumentasikan kehendak kendiri. Sebagai contoh keluarga, potret dan aktiviti yang mana 10 tahun lalu tak ada platform sebegini.

"Tidak terkecuali keluarga saya, yang mana YouTube dijadikan saluran untuk mendokumentasikan kehidupan peribadi dan bekerja.

"Macam saya dan Diana, masing-masing ada saluran YouTube sendiri. Cuma, sekarang dalam proses nak mengembangkan kandungan sedia ada. Kandungan yang tak pernah buat dulu seperti momen nak ke lokasi. Benda ini sebenarnya ada nilai positif dan negatif.

"Kalau positif, ia secara tak langsung mendedahkan kehidupan seseorang itu kepada masyarakat umum untuk dipertontonkan. Itu boleh naikkan nilai dengan memaparkan kehidupan baik. Ia sekali gus menjadi motivasi kepada saya dan Diana untuk mendokumentasikan perihal keluarga kami," katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman hari pertama menjalani penggambaran mengikut SOP pada Khamis lalu, Farid berkata, ia normal baharu yang perlu diterima pakai untuk kebaikan bersama.

"SOP di lokasi lebih kepada mementingkan kebersihan dan persekitaran. Kerja penggambaran macam biasa. Babak bergaduh dan bersentuhan terpaksa dikreatifkan mengikut kehendak shot dan jalan cerita.

"Pada saya ia normal baharu yang perlu kita dijalani. Sebab ini adalah proses pertama, ibarat bahan uji kaji bagi memastikan sama ada SOP ini berjaya atau tak untuk mengekang rantaian Covid-19.

"Tetapi, pada saya lebih baik kita mencuba daripada tak tahu perkara SOP yang wajib bagi meneruskan pekerjaan sedia ada," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 6:00am
d