utama

Bintang TikTok OKU

Oleh Agensi

NEW YORK: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) kini menjadi perhatian warganet dengan gelagat lucunya menerusi aplikasi TikTok.

Metro.co.uk melaporkan, Colby Van Voorhis, 24, yang mengalami kecacatan pada tangan dan kaki kini menjadi terkenal sekelip mata selepas video aksinya ditonton 15 juta kali.

Menggunakan gelaran Armless Freak, Colby sudah mempunyai 80,000 pengikut di aplikasi berkenaan.

Berasal dari Syracuse, di sini, Colby mengalami kecacatan genetik apabila beberapa anggota badan tidak membesar dengan sempurna ketika dia masih dalam kandungan.

Keadaan ini berlaku satu dalam 100,000 kelahiran menyebabkan Colby ketiadaan tulang yang menghubungkan tangan dan badan.

Dia yang juga dilahirkan tanpa sambungan pada lutut itu membuat keputusan untuk tampil menghiburkan orang ramai dengan gelagat lucunya.

"Saya berlawak mengenai tubuh sendiri dan memberikan sendiri nama 'armless freak' ketika di sekolah menengah.

"Saya sedar ia agak janggal dan video itu dibuat agar orang ramai selesa berada disamping saya," kata penuntut kolej itu.

Katanya, dia menerima seadanya keadaan diri dan berharap dapat memberikan semangat kepada orang lain.

"Saya belajar bagaimana untuk meneruskan hidup seperti apa diinginkan dan bukan bagaimana orang lain patut lakukan untuk saya.

"Melihat orang lain gembira dan ketawa adalah sesuatu yang saya suka. Ia juga dapat menaikkan mood sendiri dan orang lain," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 6:30am
d