utama

Pusara kereta hantu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

ADA yang menggelarkan kenderaan usang ini sebagai 'kereta hantu' atau 'rangka karat'.

Malah, ada kenderaan itu dibiarkan tersadai berpuluh tahun hingga menjadi sarang pembiakan ular dan ditenggelami semak sehingga menimbulkan rasa kurang selesa penduduk di kawasan perumahan.

Tambah memburukkan keadaan apabila beratus kenderaan lama ini sengaja ditinggalkan di bahu jalan, kawasan kediaman, di tepi lebuh raya, tapak pasar malam dan pelbagai lokasi tumpuan awam.

Tindakan mencacatkan pemandangan ibu kota itu dilakukan warga tempatan atas pelbagai faktor seperti kereta rosak tidak dibaiki, berhutang dengan bank dan pemiliknya sudah meninggal.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmin Ahmad berkata, dari Januari hingga Mei tahun ini sahaja sebanyak 656 kereta tersadai direkodkan di ibu negara.

Menurutnya, jumlah paling banyak kereta tersadai ialah di Batu iaitu 146 buah diikuti Cheras (81), Segambut (78), Seputih (72), Wangsa Maju (57), Kepong (49) , Setiawangsa (44), Bukit Bintang (42), Bandar Tun Razak (30) dan Lembah Pantai (29).

"Kereta tersadai itu turut mencacat pemandangan dan menghalang laluan di Kuala Lumpur.

"Tindakan menunda kenderaan tersadai ini selepas kita menerima aduan daripada orang ramai berhubung kewujudan kenderaan itu yang mengganggu dan mencacatkan pemandangan di kawasan mereka," katanya.

Khairul Azmin berkata, pihaknya juga menyemak dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengetahui status kenderaan itu bagi mendapatkan maklumat untuk menghantar notis kepada pemilik kenderaan terbabit.

"Kita tidak mahu berlaku perkara berbangkit selepas kenderaan terbabit ditunda selepas notis dihantar kepada pemilik.

"Sehubungan itu jika anda mempunyai aduan mengenai kenderaan buruk atau tersadai, sila salurkan ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran," katanya.

Semalam, enam lagi kenderaan tersadai ditunda DBKL bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur terus bebas dari halangan dan sentiasa dalam keadaan kemas serta bersih.

Facebook DBKL memaklumkan, ia membabitkan sekitar Parlimen Kepong dan Segambut apabila penundaan Perodua Kembara dan Proton Iswara dilaksanakan di Jalan 3/40, Taman Pusat Kepong.

"Kereta Honda, Proton Wira (2) dan Toyota pula dilaksanakan di Jalan 30/62 Bandar Manjalara.

"Semua enam kenderaan itu dibawa ke Depoh Simpanan Taman Connaught, Cheras," katanya.

Segera alih demi kecantikan bandar

Pemilik kereta tersadai dinasihatkan menyelesaikan dan mengalihkan kenderaan mereka bagi menjaga kebersihan dan keindahan di ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tanggungjawab menjaga keindahan dan kebersihan Kuala Lumpur adalah tanggungjawab bersama.

Menurutnya, DBKL memandang serius isu kereta tersadai ini yang bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah menjejaskan alam sekitar.

"Nasihat saya kepada mereka ini demi kebersihan, kesihatan, keindahan dan kedamaian alam sekitar maka jadilah warga kota yang sayangkan Kuala Lumpur kerana ia tanggungjawab bersama.

"Tindakan menunda kereta tersadai akan terus dilakukan bagi memastikan Kuala Lumpur bersih," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, pihaknya mengetahui isu berkenaan dan menerima permohonan daripada DBKL untuk menyemak status kenderaan tersadai itu.

"Tindakan menunda kenderaan ini dilakukan DBKL dan kita akan menyemak status kenderaan itu.

"Kebiasaannya antara penyebab kereta ini tersadai disebabkan pemiliknya sudah meninggal dunia, kereta mempunyai hutang dan sebagainya," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 8:01am
d