utama

Covid-19: Kluster baharu Bukit Bintang, 10 positif [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Amir Abd Hamid

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mendedahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti satu kluster baharu di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 10 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster ini yang membabitkan sembilan warga Bangladesh dan seorang warga tempatan.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-8498) merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang menjalani saringan Covid-19 untuk masuk kerja dan didapati positif pada 15 Jun lalu.

"Siasatan dan saringan Covid-19 ke atas semua kontak rapat sudah dijalankan. Setakat ini seramai 274 orang sudah disaring di mana 203 adalah bukan warganegara dan 71 warganegara Malaysia," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan mendapati sembilan individu dikesan positif Covid-19 dan 265 negatif.

"Tujuh daripada 10 kes positif kluster ini adalah rakan serumah kepada kes indeks.

"Langkah pencegahan seperti proses pembersihan dan nyah kuman sudah dijalankan di kediaman mereka serta lokasi-lokasi lain yang berkaitan. Punca jangkitan kluster ini adalah masih dalam siasatan," katanya.

Selain kluster Bukit Bintang itu, Dr Noor Hisham juga mendedahkan dua kluster baharu iaitu Kluster Tapak Pembinaan Kuching dan Kondominium Hulu Langat.

Menjelaskan lanjut, katanya, KKM mengenalpasti kluster tapak pembinaan baharu di Kuching, Sarawak.

"Kluster ini mula dikesan apabila kes ketiga kluster ini (iaitu kes ke-8591) membuat saringan Covid-19 di klinik swasta dan didapati positif.

"Beliau merupakan ketua penyelia kepada dua orang pekerja warga Indonesia yang dikesan positif Covid-19 pada 16 Jun lalu hasil saringan di tempat kerja. Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat termasuk pekerja tapak pembinaan serta ahli keluarga mereka dijalankan.

"Setakat ini seramai 426 kontak sudah dikenalpasti di mana seramai 62 didapati negatif dan selebihnya (iaitu 364 kontak) masih menunggu keputusan. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan," katanya.

Bagi kluster Kondominium Hulu Langat, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks kluster ini (kes ke-8368) membabitkan pelajar pusat tahfiz yang dikesan positif saringan Covid-19 pada 8 Jun lalu.

"Aktiviti pengesanan kes secara aktif sudah dijalankan dan dua lagi kes positif dikesan dalam kluster ini. Kes pertama merupakan bukan warganegara (kes ke-5818) namun merupakan bapa saudara angkat kepada kes indeks. "Beliau tinggal di kediaman yang lain, namun terdapat aktiviti kunjung-mengunjung antara mereka. Salah seorang rakan sekerja kepada kes ke-5818 turut dikesan positif Covid-19 (iaitu kes ke-5894)," katanya.

Katanya, seramai 40 kontak rapat dikenal pasti dan disaring dan daripada jumlah keseluruhan, 26 bukan warganegara dan 14 warga tempatan.

"Tiga kes dikesan positif, 30 kes negatif dan tujuh masih menunggu keputusan," katanya mengulas keputusan saringan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 5:24pm
    d