utama

Gula bernilai RM22 juta dirampas KPDNHEP

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN dua syarikat pengedar dan pemborong gula menyimpan bekalan itu melebihi jumlah ditetapkan terbongkar selepas premis mereka di Shah Alam dan Kajang, Selangor diserbu dalam Operasi Manis (Op Manis), hari ini.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor Aminuddin Muhammad jam 10 pagi itu membabitkan 12 anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor selain beberapa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Kami melakukan pemeriksaan terhadap empat syarikat berkenaan yang terletak di Shah Alam dan Kajang membabitkan dua pengedar dan dua pemborong gula selepas melakukan risikan selama dua minggu di premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati dua daripada syarikat terbabit dipercayai melakukan kesalahan menyimpan barang kawalan berkenaan melebihi had kuantiti dibenarkan.

"Sebuah lagi syarikat pula dipercayai melakukan kesalahan gagal menyelenggara buku stok baran kawalan terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Iskandar berkata, sebanyak 8,000 metrik tan gula dianggarkan bernilai RM22 juta dirampas dalam serbuan terbabit.

"Kes ini disiasat mengikut Peraturan 9(1) dan Peraturan 13(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM 1 juta bagi perseorangan, manakala pertubuhan pula boleh didenda tidak melebihi RM 2 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah akta berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandangkan serius isu barangan kawalan berkenaan kerana tidak mahu ia diseleweng sekali gus menyebabkan berlaku masalah bekalan nanti.

"Setiap pengedar dan pemborong tidak dibenarkan untuk menyimpan stok barangan kawalan melebihi had kuantiti yang kita benarkan.

"Selain itu, stok keluar dan masuk barangan kawalan ini juga mesti dikemas kini setiap hari untuk mengelakkan disyaki diselewengkan.

"Kami mahu mengingatkan peniaga terutama yang membabitkan barangan kawalan ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil ke atas mereka," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 2:58pm
d