utama

Atuk Pokemon Go pasang 64 telefon pada basikal

Oleh Agensi

TAIPEI: Seorang warga emas yang taasub bermain Pokemon Go sekali lagi menjadi tajuk berita utama antarabangsa apabila memasang 64 telefon pintar pada basikalnya untuk memudahkannya menangkap raksasa digital itu.

Sebelum ini, pada Ogos 2018, Chen San Yuan, 72, pernah menjadi perhatian ramai apabila gambarnya menjadi tular selepas memasang 11 telefon pintar dan membawa sembilan power bank ketika melakukan aksi itu di tengah bandar raya Taipei.

Selepas waktu berlalu, Chen dilihat masih taasub dengan permainan itu dengan meluangkan banyak masanya dan wang hingga sanggup memasang 64 telefon bimbit pada basikalnya.

Walaupun kegilaan orang ramai untuk bermain Pokemon Go sudah berkurangan sejak beberapa tahun ini, Chen dilihat masih setia bermain permainan itu.

Sebelum ini, Chen mampu bermain Pokemon Go sehingga 20 jam tanpa henti sebelum 11 telefon dan sembilan 'power bank' yang dibawa dalam bakul basikalnya.

Chen yang juga pakar Feng Shui itu mengayuh basikalnya sekitar bandar Taipei, kadangkala sehingga jam 4 pagi untuk memburu 'raksasa'.

Dia mengaku membelanjakan sehingga £1,165 (RM6,000) sebulan untuk membeli pelbagai aplikasi berkaitan Pokemon Go serta peralatan.

Antara lokasi kegemarannya termasuk satu taman yang dilawatinya kira-kira enam kali seminggu yang menjadi popular selepas seorang penduduk tempatan memuat naik gambarnya di situ ke laman web Reddit.

Chen mula meminati permainan itu pada 2016 selepas diajar cucunya dan kini menganggapnya cara terbaik mengelak Alzheimer selain dapat berinteraksi dengan pemain lain.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 7:00am
d