utama

Bayi yatim piatu sekelip mata

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

"MEREKA banyak beli barang keperluan untuk anak tunggal, saya tidak menyangka itu petanda mereka akan pergi selamanya," kata Hasnah Seman, 54, ibu kepada Mohamad Hassrul Nizzam Omar, 28.

Mohamad Hassrul dan isterinya, Nur Haziqah Adam, 24, disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 34.4 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari arah USJ ke Klang, Subang Jaya, jam 11.48 malam tadi.

Hasnah berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu ada memaklumkan mahu ke tempat kerja di Bukit Kemuning, Shah Alam bersama isterinya dengan menaiki motosikal, semalam.

"Mereka bergerak dari rumah kami di Ipoh, Perak kira-kira 6 petang dan sempat membeli keperluan anak mereka, Niyaz Hasif berusia sembilan bulan pada pagi berkenaan.

"Selalunya tidak banyak barang keperluan cucu dibeli kerana anak yang bekerja sebagai pemandu lori agak kerap pulang ke Ipoh untuk menjenguk isteri serta bayi mereka. Namun, kali ini mereka beli dalam kuantiti banyak," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, hari ini.

Katanya, dia dimaklumkan oleh anaknya mengenai kemalangan itu kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

"Saya amat terkejut apabila dimaklumkan oleh anak yang lain mengenai perkara itu. Pada mulanya, anak memaklumkan Mohamad Hassrul dan isterinya hanya pengsan.

"Namun beberapa minit kemudian, dia memaklumkan bahawa mereka sudah meninggal dunia. Biarpun sedih, saya reda dengan pemergian mereka," katanya yang memaklumkan anak tunggal pasangan terbabit berada dalam jagaan anaknya yang lain di Ipoh, Perak.

Sementara itu, ibu kepada Nur Haziqah, Hasnah Abdullah 57, berkata, dia tidak dimaklumkan oleh pasangan itu mengenai perjalanan mereka ke Bukit Kemuning dengan menaiki motosikal.

"Setiap kali pergi ke tempat kerja menantu (Mohamad Hassrul), mereka tidak memaklumkan kepada saya kerana takut saya 'bising' sebab naik motosikal ke sana.

"Saya bimbang dengan keselamatan mereka menempuh perjalanan jauh dengan menaiki motosikal. Pada masa sama, saya faham sebab mereka pilih naik motosikal.

"Ini kerana mudah bagi menantu meletakkan motosikal di dalam lori dan memandu kenderaan milik syarikat itu untuk menghantar barang sambil ditemani isterinya," katanya.

Hasnah berkata, suami isteri itu sudah berkahwin sejak dua tahun lalu, namun tinggal berasingan atas tuntutan kerja.

"Nur Haziqah bekerja sebagai kerani di Ipoh, manakala tempat kerja menantu pula di Bukit Kemuning dan tinggal di Batu 9 Cheras. Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa berjauhan.

"Namun, menantu akan balik ke Ipoh untuk menjenguk isteri dan anaknya setiap kali cuti selain membawa isterinya berjalan-jalan ke sini apabila berkesempatan," katanya.

Jenazah suami isteri itu akan dibawa balik ke kampung halaman untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tampin sebaik selesai proses bedah siasat di Hospital Serdang.

Berita berkaitan

Ajal suami isteri

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 2:10pm
d