utama

Zizan ceriakan Puteri Nur Zulaika

Oleh Mohd Khidir Zakaria

HASRAT pesakit paru-paru kronik, Puteri Nur Zulaika Abdullah, 10, yang hidupnya bergantung dengan bantuan pernafasan untuk berjumpa dengan artis pujaannya, pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak tercapai ketika artis itu melawatnya di Hospital Port Dickson tadi.

Ibu kanak-kanak itu, Halimaton Seman, 48 berkata, anaknya yang kerap menerima rawatan di hospital sangat berminat dengan pelawak berkenaan dan selalu berharap dapat bertemu artis pujaannya itu.

"Hari ini adalah hari yang sangat menggembirakan Puteri (Nur Zulaika) kerana hasratnya tercapai selepas dimaklumkan semalam oleh doktor yang Zizan nak melawatnya.

"Malam tadi Puteri tak lena tidur dan kerap terjaga seperti tidak sabar menunggu siang.

"Saya nampak mukanya berseri sebaik nampak Zizan yang tiba jam 3 petang mengambil masa lebih satu jam melawatnya," katanya ketika ditemui, malam ini.

Menceritakan keadaan anaknya, Halimaton berkata, Puteri masih sekolah di Sekolah Kebangsaan Lukut (SKL) tetapi sejak tahun lalu, doktor di Hospital Serdang sarankan anaknya tidak pergi sekolah disebabkan keadaan paru-parunya bertambah kronik.

"Sejak itu dia lebih banyak berada di hospital dari di rumah dan kami sekeluarga sedaya upaya cuba memberinya harapan yang dia akan segera sembuh.

"Peluang Puteri nak jumpa Zizan nampak cerah selepas menerima lawatan pengacara popular, Pak Nil (Aznil Nawawi) yang menghubungi Zizan memberitahu hasrat Puteri yang ingin berjumpanya," katanya.

Halimaton berkata, Zizan turut memberikan hadiah berupa topi dan wang tunai kepada Puteri dan mengucapkan terima kasih kerana bersusah payah menyempurnakan hasrat anak bongsunya itu.

Sementara itu, Zizan atau nama penuhnya, Mohammad Razizan Abdul Razak berkata, hasrat Puteri ingin berjumpanya diketahui sejak tahun lalu selepas dihubungi Pak Nil yang terlebih dahulu melawatnya di hospital.

"Waktu itu saya tidak berapa pasti lagi hasrat adik ini dan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, baru saya dapat tahu hal yang sebenarnya tetapi hajat itu tertangguh akibat pandemik Covid-19.

"Hari ini baru saya dapat menunaikan hajat 'peminat istimewa' saya yang membuatkan saya sebak dan menangis sebaik bertemunya," katanya yang datang dari Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 10:40pm
d