utama

Selesai masalah anda

Oleh Suliati Asri

KUALA LUMPUR: Datang sendiri ke Kedai Tenaga dan berinteraksi secara bersemuka bagi mendapatkan pemahaman serta maklumat mengenai bil elektrik yang dikatakan tinggi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah langkah bijak.

Ia dapat menyelesaikan pelbagai isu berkaitan penggunaan elektrik dan perkhidmatan dihadapi pelanggan yang akan dijawab secara terus.

Mulai 15 Mei lalu, operasi bacaan meter dan penyerahan bil sebenar bermula secara berperingkat dan bil diserahkan berkemungkinan lebih tinggi kerana penggunaan meningkat ketika berada di rumah serta meliputi tempoh penggunaan melebihi sebulan.

Bagaimanapun, tidak ramai memahami hakikat itu dan kaedah pengiraan bil, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.

Justeru, bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat lebih tepat berhubung bil diterima anda boleh mendapatkan maklumat dengan mengunjungi Kedai Tenaga TNB.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata pengguna berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak TNB malah diskaun diberikan ternyata melegakan mereka.

Selain itu, Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang diberikan oleh kerajaan bersama TNB kepada semua pelanggan domestik dalam bentuk manfaat penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300kWj pertama untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP juga meringankan bebanan rakyat untuk menjelaskan bil elektrik mereka.

Penjawat awam, Mastura Che Rosli, 33, berkata, mulanya dia terkejut melihat penyata diterima kerana sepanjang PKP beliau membuat pembayaran tanpa gagal.

Menurutnya, pembayaran dibuat mengikut anggaran bayaran bil sebelum PKP dilaksanakan selama tiga bulan bermula Mac, April dan Mei.

"Saya buat pembayaran setiap bulan dan menganggap tidak ada masalah kenaikan seperti dihadapi kebanyakan jiran dan rakan sekerja.

"Namun, apabila bil Jun diterima, saya terkejut melihat jumlah bil yang harus dijelaskan tinggi dan tidak seperti selalu diterima," katanya.

Enggan membuat andaian sendiri serta mendengar pelbagai cerita mengelirukan, Mastura berkunjung ke Kedai Tenaga Putrajaya untuk mendapatkan kepastian.

"Alhamdulillah, penjelasan diberikan mudah difahami dan tahu bagaimana pengiraan dilakukan.

"Selain itu, diskaun diberikan bagi setiap bil selama tiga bulan sepanjang PKP juga dapat meringankan beban," katanya.

Kakitangan Universiti Putra Malaysia, Amin Amini Napiah, 35, berkata, dia sememangnya terkejut dengan bil elektrik diterima baru-baru ini kerana membuat pembayaran setiap bulan sepanjang PKP.

"Sebagai pengguna, kita tidak mengetahui bagaimana pengiraan dilakukan. Jadi, apabila datang sendiri ke Kedai Tenaga Putrajaya ini, mereka menjelaskan sebaik-baiknya terutama mengenai peningkatan bil elektrik yang perlu dijelaskan.

"Diskaun yang diberikan bagi bil setiap bulan sepanjang PKP ditambah dengan bantuan pelan bayaran mudah yang diberikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga bukan saja memudahkan pengguna menjelaskan bayaran, tetapi dapat meringankan beban pengguna," katanya.

Bagi, penjawat awam, Abd Rahim Mohd Ibrahim, 58, bil elektrik tinggi bukan masalah besar kerana sepanjang PKP semua orang duduk di rumah dan sudah pasti penggunaan akan berganda.

"Sebelum ini, kita bekerja dan penggunaan elektrik tidak banyak pada waktu siang. Tapi, semasa PKP, kita sentiasa berada di rumah dengan pelbagai barangan elektrik di gunakan selama 24 jam terutama pendingin hawa, kipas dan banyak lagi.

"Ini sememangnya menyumbang kepada peningkatan penggunaan dan bil elektrik pun tinggilah.

"Jadi, jangan salah sangka mengenai pengiraan elektrik ini. Jika keliru, sebaik-baiknya, datanglah ke Kedai TNB terdekat untuk mendapatkan penjelasan sebenar mengenai pengiraan dan pembayaran bil," katanya yang membuat bayaran setiap bulan mengikut anggaran bil terdahulu sebelum PKP.

Bagi pekerja swasta, Elizabeth Anthony Dass, 44, tiada kenaikan ketara dirasakan seperti dialami pengguna lain.

Katanya, sepanjang PKP dia juga duduk di rumah, namun bil elektrik untuk Jun tidak meningkat terlalu tinggi.

"Saya ada membuat pembayaran Mei lalu sebanyak RM540 dan mungkin disebabkan itu, bil yang diterima Jun ini tidak terlalu tinggi.

"Tetapi kalau dilihat kepada purata penggunaan elektrik, saya tidak melihat ada kenaikan mendadak terhadap bil elektrik saya," katanya yang turut berterima kasih kepada TNB kerana diskaun diberikan pastinya membantu meringankan beban bukan hanya kepada dirinya, tetapi pengguna lain.

Sementara itu, dalam usaha mengurangkan impak pandemik Covid-19 kepada rakyat, TNB memperkenalkan pakej bantuan merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM) sehingga Disember, penangguhan surcaj lewat bayar sehingga September dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan sehingga 31 Julai ini kepada 7.66 juta pelanggan kediaman.

Menariknya, PBM dilaksanakan secara automatik bagi semua pelanggan kediaman bermula daripada bil bulanan sebenar pertama diterima selepas TNB menyambung semula operasi pembacaan meter pada 15 Mei lalu.

Selain pembayaran bil elektrik, pelanggan juga boleh melakukan pelbagai transaksi di Kedai Tenaga termasuk pertanyaan bil, pembayaran bil utiliti lain, permohonan bekalan elektrik, penukaran penyewa dan penutupan akaun.

Waktu operasi Kedai Tenaga adalah jam 9 pagi sehingga 4 petang manakala kios pembayaran layan diri pula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 6:40am
d