utama

Demi Aiman, Aris dan Alisya

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SEORANG bapa sanggup menunggang motosikal sambil membawa tiga anaknya berusia antara 8 hingga 20 tahun yang menghidap talasemia dari Sungai Besar ke Hospital Teluk Intan (HTI) demi mendapatkan rawatan mengikut jadual.

Mohd Zaher Hashim, 50, berkata, walaupun dia kehilangan pekerjaan sebagai pemandu lori sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkara itu bukan penghalang untuk memastikan kesihatan dan perubatan anaknya iaitu Muhammad Aiman, 20, Muhammad Aris, 14, dan Nur Alisya, 8, terjamin.

Mohd Zaher berkata, dia dan isteri, Zaikiah Jamaluddin, 44, menetap di Jalan Masjid, Parit Satu Barat, Sungai Besar tidak menyangka tiga anak mereka menghidap penyakit kurang darah merah itu sejak berumur setahun.

Dia bagaimanapun bersyukur seorang lagi anaknya, Muhammad Adam, 11, tidak menghidap penyakit itu.

"Apabila tiba tarikh rawatan, saya dan anak-anak akan bertolak dari rumah jam 6 pagi dan tiba di HTI pada 8 pagi. Pernah beberapa kali kami pergi dan pulang dalam keadaan berhujan.

"Malah, semasa PKP, saya dan anak-anak pernah ditahan di sekatan jalan raya semasa dalam perjalanan ke HTI. Apabila saya menerangkan perkara sebenar, barulah polis melepaskan kami," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zaher berkata, bagaimanapun motosikal SYM Sport Bonus 110 SR yang dinaiki mereka empat beranak itu mengalami kerosakan enjin dan tidak dapat digunakan sejak sebulan lalu.

Susulan itu, dia meminjam motosikal daripada rakannya dan menggunakan kenderaan itu untuk berulang-alik ke hospital.

"Kalau saya ada duit lebih, saya akan sewa kereta. Tapi, kalau duit cukup-cukup, saya akan pinjam motosikal rakan-rakan di kampung.

"Saya lakukan semua ini kerana nyawa anak-anak. Saya tak boleh biarkan penyakit itu membelenggu mereka," katanya.

Menurutnya, dia ada niat untuk membeli kereta terpakai bagi memudahkan urusan ke hospital tetapi ditangguhkan demi mengutamakan rawatan anak-anak.

"Bagi saya, kesihatan anak-anak paling utama. Kalau ditakdirkan mereka pergi, saya reda dengan ketentuan Ilahi kerana dapat berikhtiar sesuatu buat mereka," katanya yang mempunyai masalah selaput mata.

Dalam pada itu, Mohd Zaher berkata, dia bimbang dengan keadaan tiga anaknya yang tidak boleh terlalu penat dan lasak selain pernah beberapa kali pitam di tempat awam.

"Kalau anak menunjukkan simptom seperti darah merah turun, saya terpaksa bawa ke hospital. Selain itu, saya perlu memastikan mereka makan ubat mengikut jadual ditetapkan supaya organ dalaman tidak membengkak.

"Setakat ini, saya tidak pernah lagi gagal membawa mereka ke hospital. Sebagai bapa, saya kena usahakan sesuatu untuk kelangsungan hidup anak-anak," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kos perubatan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sebanyak RM3,000 untuk setiap seorang anaknya.

Namun, dia gusar dan buntu memikirkan kos ulang-alik ke hospital selain kos rawatan tidak menentu disusuli duit simpanannya yang dikumpul semasa bekerja sebagai pemandu lori semakin berkurangan.

"Mujur Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi bantuan bulanan RM500 kepada saya. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) turut menyampaikan bantuan.

"Apa yang terjadi pada saya sekeluarga membuatkan kami lebih kuat menghadapi dugaan ini. Semoga Allah panjangkan umur anak-anak kami dan semoga ada sinar baru untuk mereka," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd Zaher di talian 013-6022407.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 3:31pm
d