utama

Ujian 12 jam keluarga Jamal dan Norbaya [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

DULU mereka memberi bantuan makanan kepada gelandangan namun lapan beranak ini diuji apabila terpaksa berteduh di surau Pasar Borong Kuala Lumpur selepas gagal membayar tunggakan sewa rumah.

Jamal Pawi, 34, dan Norbaya Langhati, 29, bersama enam anak berumur antara tujuh bulan hingga 10 tahun diuji apabila diminta keluar dari rumah sewa jam 6 petang semalam sehingga memaksa mereka tidur di surau sebelum bantuan mencurah datang.

Norbaya berkata, kehidupan mereka sebelum ini cukup sempurna walaupun sewa rumah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur berjumlah RM1,300 iaitu sama dengan sebulan gaji suaminya yang bekerja sebagai pembancuh air di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

"Kami mendapat bantuan bulanan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM500. Wang itu cukup untuk kami lapan beranak makan dan sekolahkan anak-anak," katanya ketika ditemui di surau itu hari ini.

Katanya, semuanya berubah apabila suaminya kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sewa tertunggak selama empat bulan berjumlah RM5,200 dan tuan rumah meminta mereka keluar dari kediaman.

"Saya dan anak-anak keluar dari rumah jam 6 petang semalam dan singgah sementara di Masjid Jamek Kuala Lumpur kemudian menaiki bas sejam kemudian ke pasar borong ini.

"Suami saya baru bekerja di pasar borong ini selama seminggu dengan gaji RM1,300 sebulan," katanya.

Dia mengakui tertekan selepas terpaksa keluar dari rumah sewa lebih-lebih lagi memikirkan keadaan enam anaknya.

"Pada mulanya memang tertekan, kami tiada masalah lain, cuma tiada tempat tinggal saja," katanya.

Menurutnya, sebelum PKP dan mempunyai lebihan rezeki, mereka akan membawa anak-anak ke tempat gelandangan untuk memberi makan golongan kurang bernasib baik itu.

"Saya mahu ajar anak-anak erti kesusahan, namun tidak sangka nasib kami pun sama selepas suami hilang kerja," katanya.

Bagaimanapun, sudah tertulis rezeki lapan beranak itu apabila sepasang suami isteri yang juga pemilik restoran, Rozita Mohamad, 51, dan Saaidin Salam, 53, singgah untuk solat Subuh di surau itu jam 6.30 pagi hari ini.

Rozita berkata, dia terkejut sebaik melihat anak beranak itu tidur bergelimpangan dengan barangan masing-masing di surau berkenaan.

"Lebih menyedihkan, anak bongsu perempuan mereka hanya diberi makan biskut saja manakala anak lain kelaparan.

"Saya meminta izin untuk membawa dua anak mereka berusia enam dan 10 tahun ke rumah, kemudian singgah ke kedai untuk membeli lampin dan makanan serta kembali semula ke surau ini.

"Alhamdulillah kami juga dapat mencari rumah sewa sementara untuk lapan beranak ini terletak di Sungai Penchala, berdekatan restoran kami," katanya.

Rozita berkata, mereka akan menawarkan pekerjaan di restoran berkenaan kepada Jamal, namun semuanya terpulang kepada lelaki itu untuk menerimanya atau tidak.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Md Fadzli Md Saad berkata, sebaik menerima aduan daripada orang ramai, pihaknya bergegas ke surau itu untuk membantu lapan beranak berkenaan.

"Hasil siasatan kami mendapati mereka adalah penerima bantuan bulanan kami berjumlah RM500.

"Kami difahamkan, pasangan suami isteri, Saaidin dan Rozita juga sudah mencari rumah sewa buat mereka dan kami akan menampung sewa itu," katanya ketika ditemui di surau itu.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan aduan dan kes dapat diselesaikan kurang 12 jam, malah lapan beranak itu sudah dipindahkan ke rumah sewa kira-kira jam 4 petang.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 8:00pm
d