utama

Isterinya itu bukan wanita

Oleh Agensi

KOLKATA: Pelik tetapi benar. Itu yang berlaku kepada seorang wanita di Birbhum, India apabila disahkan secara biologinya adalah seorang lelaki.

Lebih malang, dia hanya mengetahuinya selepas disahkan menghidap kanser testikel, pada usia 30 tahun.

Dia juga sudah sedekad berkahwin dengan lelaki.

Penyakit itu hanya dikesan lepas dia menjalankan pemeriksaan perubatan kerana mengadu sering sakit pada bahagian perut.

Doktor kemudian mengesahkan dia menghidap sindrom ketidakpekaan androgen.

Ia adalah keadaan seseorang dilahirkan secara genetik lelaki, tetapi mempunyai semua sifat fizikal seorang wanita.

Anehnya, adiknya berusia 28 tahun juga menghidap gejala sama.

Gulf News melaporkan dua doktor pakar menjalankan ujian perubatan sebelum mendedahkan 'identiti' sebenar wanita itu.

"Daripada penampilannya, dia adalah wanita. Daripada suaranya, perkembangan payudara termasuk alat sulit luaran yang normal, segalanya milik seorang wanita.

"Namun, rahim dan ovarinya tidak ada sejak lahir dan dia juga tidak pernah datang haid," kata doktor berkenaan.

Katanya, sindrom itu jarang berlaku dan hanya ditemui satu dalam setiap 22,000 orang.

Doktor memutuskan melakukan ujian Karyotyping atau memadankan semua kromosom yang menunjukkan pelengkap kromosomnya adalah XY dan bukan XX, seperti yang terdapat pada seorang wanita.

"Kami mengendalikan ujian klinikal selepas dia mengadu sakit pada perutnya dan kami dapati ada testis dalam tubuhnya.

"Kami juga melakukan ujian biopsi sebelum dia disahkan menghidap barah testiskel," katanya.

Katanya, buat masa ini wanita itu menjalani kemoterapi dan kesihatannya bertambah stabil.

"Pesakit itu dan suaminya kini menjalani kaunseling bagi meneruskan hidup seperti biasa," katanya.

Difahamkan, pasangan itu mencuba untuk memiliki anak beberapa kali sebelum ini, tetapi gagal.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 6:40am
d