utama

Covid-19: Sejarah tercipta, hanya 1 kes baharu [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

SEJARAH tercipta hari ini apabila tiada jangkitan baharu Covid-19 dalam negara membabitkan penularan tempatan, hanya satu kes direkodkan berkaitan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu yang dilaporkan membabitkan warga tempatan yang pulang dari Turki.

Beliau berkata, susulan pertambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak berkenaan dalam negara sebanyak 8,640 kes.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 144 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, ada 21 kes yang pulih daripada Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj wad sebanyak 8,375 kes, 96.93 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, hanya empat pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak itu kekal 121 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 5:54pm
    d