utama

Berang aduan tidak dilayan, lelaki cederakan kakitangan TNB

Oleh Rosli Ilham

BERANG aduan kenaikan bil elektrik tidak mendapat maklum balas daripada Suruhanjaya Tenaga, seorang lelaki bertindak mencederakan seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika menjalankan tugas di Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, lelaki berusia 46 tahun itu menolak kakitangan TNB berkenaan sehingga terjatuh menyebabkan mangsa cedera di lutut kanan serta sakit di bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa berusia 59 tahun itu pergi ke sebuah rumah di kampung berkenaan untuk menjelaskan mengenai kenaikan bil elektrik penghuni rumah terbabit, tetapi mendapati tiada penghuni di rumah itu.

"Mangsa kemudiannya ke rumah suspek untuk bertanyakan mengenai penghuni rumah berkenaan. Suspek adalah jiran kepada penghuni rumah terbabit.

"Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba ke arah mangsa dan bertindak menolaknya yang ketika itu masih di motosikal," katanya kepada media, malam ini.

Baharudin berkata, selepas menolak mangsa, suspek dikatakan berlegar-legar di situ mencari alatan untuk memukul mangsa, namun dihalang penduduk yang menyedari kejadian itu.

Katanya, mangsa kemudian ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk membuat laporan.

"Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek yang juga seorang penganggur dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

"Kejadian disebabkan suspek sebelum ini pernah membuat aduan di Suruhanjaya Tenaga tetapi tidak mendapat maklum balas," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan ugutan jenayah.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 11:51pm
d