utama

Hari bahagia cara pandu lalu

Oleh Adnan Ibrahim

KLUANG: "Niat kami hanya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan selain melangsungkan majlis yang beberapa kali tertangguh," kata Norazura Mohd Ali, 36.

Norazura berkata demikian ketika mengulas berkaitan majlis perkahwinan bersama jejaka pilihannya, Agus Santoso Sidik, 28, yang tular sejak awal minggu ini apabila ia diadakan secara pandu lalu untuk tetamu yang datang meraikan.

Katanya, pada mulanya semua adik beradiknya mencadangakan majlis diadakan dengan mengagih makanan secara bungkus kepada jiran serta rakan taulan dan saudara terdekat.

"Namun saya dan suami tidak setuju kerana memikirkan banyak kerja perlu dilakukan untuk mengagihkan makanan selain mengenangkan ramai rakan dan saudara-mara mahu datang sendiri melihat kami berdua di majlis berkenaan.

"Bagaimanapun, selepas melihat video ditularkan seorang perunding perkahwinan di Kluang berkaitan majlis perkahwinan secara pandu lalu, kami bercadang menggunakan konsep itu kerana ia dirasakan sesuai selain tidak melanggar sebarang SOP penganjuran majlis keramaian," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rumah Murah Jalan Sawi, dekat sini, semalam.

Norazura berkata, pada mulanya, semua ahli keluarga termasuk ibu, Khatijah Awang, 66, membantah niat mereka berdua namun selepas perbincangan selain mendapat kelulusan polis, akhirnya perancangan itu dapat dilakukan.

"Berikutan itu, pelbagai perancangan awal dilakukan untuk menyusun atur perjalanan majlis dengan menampal catatan bahawa majlis kami menggunakan konsep pandu lalu pada kad jemputan.

"Selain itu, kami meletakkan pusat hentian untuk pemeriksaan suhu badan serta pendaftaran kehadiran, tempat agihan makanan dan yang terakhir berswafoto dengan pengantin hanya dari dalam kereta," katanya.

Norazura berkata, mereka yang bernikah di Pejabat Agama daerah Kluang pada 23 Jun sebelum melangsungkan perkhawinan pada 27 Jun selepas lebih setahun menjalankan hubungan tidak menyangka ia menjadi viral selepas dimuat naik dalam laman sosial oleh jurugambarnya.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 6:35am
d