utama

Warga asing dirawat, dilayan dengan baik - Dr Kenneth

Oleh Redzuan Muharam

"LAPORAN disiarkan agensi berita antarabangsa berkenaan tidak benar kerana hakikatnya, mereka (warga asing) menerima rawatan dan dilayan dengan baik oleh semua petugas kesihatan sepanjang berada di negara ini," kata Pegawai Perubatan Jabatan Oftalmologi Hospital Selayang, Dr Kenneth Wong Chen Fei.

Dr Kenneth memberi reaksi itu bagi mengulas hantaran dimuat naiknya di Facebook (FB) miliknya yang menafikan laporan disiarkan Al-Jazeera berhubung dakwaan wujud isu perkauman terhadap warga asing ketika negara mengendalikan pendemik Covid-19.

Menerusi hantaran berkenaan, Dr Kenneth menjelaskan semua warga asing bukan hanya dilayan dengan baik, malah diberi rawatan, makanan dan kemudahan ditanggung sepenuhnya kerajaan sepanjang berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.

Beliau turut mempersoalkan apa lagi tidak cukup selain menyifatkan laporan disiarkan itu tidak berasas dan berat sebelah.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai penyiaran dokumentari itu oleh rakannya sebelum membaca laporan berita dan menonton sendiri dokumentari diterbitkan, tengah hari semalam.

"Memang terkejut dengan apa disiarkan dan terkilan kerana ia tidak benar.

"Kerajaan sudah melakukan yang terbaik, begitu juga semua petugas barisan hadapan, jadi saya tidak faham mengapa boleh timbulnya isu seperti itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Berkongsi pengalamannya, Dr Kenneth berkata, biarpun gementar, dia seronok diberi peluang mengendalikan warga asing yang ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan berkenaan.

Katanya, memang ada perasaan risau, tetapi pada masa sama seronok kerana diberi peluang untuk melakukan tugasan itu.

"Malah, kita merawat mereka (warga asing) seperti manusia biasa, beri mereka antibiotik dan apa yang sepatutnya.

"Tiada seorang pun diabaikan, walaupun mereka bukan warganegara dan bersesuaian dengan motto kita jaga kita," katanya.

Mengulas mengenai hantarannya itu yang mendapat perhatian ramai, Dr Kenneth berkata, sokongan warganet menunjukkan rakyat Malaysia bersatu dalam menyangkal berita tidak benar.

Katanya, rata-rata warganet meninggalkan komen positif dan dia berharap rakyat Malaysia terus bersatu dan patuh dengan saranan kerajaan dalam membendung wabak Covid-19.

Pada 3 Julai lalu, dokumentari Al Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' menyiarkan Rayhan Kabir mengkritik kerajaan Malaysia mengamalkan diskriminasi dalam mengendalikan Covid-19 membabitkan warga asing.

Dokumentari berkenaan mengundang reaksi kurang senang rakyat negara ini termasuk ada melancarkan boikot terhadap Al Jazeera di media sosial.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 6:16pm
d