utama

Covid-19: 3 kes import baharu, tiada penularan tempatan [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Yusmizal Dolah Aling dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TERDAPAT lima kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,486 kes dengan kadar kesembuhan 97.8 peratus.

Beliau berkata, sebanyak tiga kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan, hari ini dan merekodkan 8,677 kes positif keseluruhan.

"Tiga kes baharu itu membabitkan tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan ketiga-tiganya membabitkan rakyat Malaysia.

"Sukacita dimaklumkan, tiada kes penularan di dalam negara hari ini.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 terus berkurangan kepada 70 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 5:43pm
    d