utama

Kluster Sri Petaling diisytihar tamat [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KLUSTER Sri Petaling, iaitu kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini yang mula dikesan pada 11 Mac lalu, diisytiharkan tamat, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu merekodkan 3,375 kes positif Covid-19 selepas seramai 42,023 individu disaring sehingga semalam, dengan kadar positif 8.03 peratus.

"Kes positif Covid-19 pertama dalam kluster itu dikesan pada 11 Mac lalu, susulan saringan dijalankan terhadap jemaah yang menghadiri perhimpunan tabligh terbabit.

"Kes pertama dikesan selepas seminggu perhimpunan terbabit dilakukan dengan kedua-dua kes pertama adalah kes 131 dan kes 136 membabitkan warga tempatan," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster itu mewujudkan 17 sub-kluster dan kes terakhir dilaporkan adalah kes ke-8,367 iaitu kluster Kampung Sungai Lui.

Beliau berkata, kluster berkenaan turut mencatatkan 34 kematian dan 87 individu dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Jumlah keseluruhan kes sembuh dicatatkan sebanyak 3,341 kes dan kes terakhir discaj adalah kes ke-799 iaitu kluster Majlis Perkahwinan Bandar Baru Bangi.

"Sejak dari awal pengesanan kluster ini, kerajaan menjalankan pendekatan tertumpu secara agresif dan meluas melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kumpulan sasar iaitu peserta dan kontak rapat perhimpunan di Seri Petaling, pelajar dan kakitangan pusat tahfiz atau madrasah di seluruh Malaysia.

"Hasil siasatan dan aktiviti pendekatan tertumpu, KKM mengesan sebanyak 17 subkluster dalam kluster berkenaan," katanya.

Beliau berkata, implementasi kawalan sempadan antarabangsa turut memastikan tidak berlaku lagi penularan jangkitan Covid-19 yang berpunca dari luar negara.

Menurutnya, empat bulan sudah berlalu sejak kluster itu mula dikesan dan hari ini, tamatlah tempoh 28 hari sejak kes terakhir kluster dilaporkan (iaitu kes ke-8,367) pada 11 Jun lalu.

"Hari ini sememangnya hari amat bermakna bagi negara apabila kita mengharunginya bersama.

"Pencapaian ini adalah kejayaan bersama bagi KKM dan agensi lain yang bekerjasama melalui tindakan bersepadu dalam segala pendekatan bagi mengawal dan membendung penularan jangkitan Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 6:11pm
    d