utama

Tembak, rempuh polis

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

LEPASKAN tembakan ke arah anggota polis sebelum bertindak ganas merempuh kereta peronda polis hingga remuk. Itu tindakan agresif penjenayah yang menaiki sebuah kereta model Audi berhampiran Jalan Mayang di Kuala Lumpur, lewat malam kelmarin.

Sumber berkata, kejadian bermula apabila anggota polis yang menaiki sebuah kereta peronda mengejar kenderaan dinaiki suspek berhampiran D'mayang Kondominium, sekitar jam 11.30 malam kelmarin.

"Difahamkan berlaku insiden tembak menembak di antara anggota polis dan suspek yang diburu terbabit.

"Sebuah kereta peronda polis yang kebetulan berada di lokasi kejadian cuba menghalang suspek. Bagaimanapun penjenayah bertindak merempuh sisi kanan kenderaan polis menyebabkan kerosakan pada pintu kereta peronda itu," katanya.

Menurutnya, sebuah lagi kereta peronda polis kemudian mengejar kereta Audi hitam dipandu penjenayah hingga ke kawasan Kampung Pandan di sini.

"Bagaimanapun suspek berjaya menghilangkan diri. Difahamkan operasi menjejaki kereta suspek dilakukan pihak polis membabitkan beberapa daerah sehingga awal pagi semalam.

"Sehingga kini masih belum dapat dipastikan jumlah dan identiti penjenayah di dalam kenderaan," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 7:30am
d