utama

Covid-19: 13 kes baharu termasuk lapan kes import [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Mahaizura Abd Malik dan Rosyahaida Abdullah

SEBANYAK 13 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini, sekali gus merekodkan 8,696 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 13 kes baharu itu, lapan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan enam warganegara dan dua pemastautin tetap.

Beliau berkata, selain itu lima kes penularan tempatan pula membabitkan tiga warganegara dan dua bukan warganegara.

"Tiga kes warganegara adalah dua kes SARI yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan satu kes saringan sebelum masuk kerja di Kuala Lumpur.

"Selain itu, dua kes bukan warganegara adalah saringan semula di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 terus berkurangan kepada 64 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 12 kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,511 kes dengan kadar kesembuhan 97.9 peratus.

Beliau berkata, sehingga kini, dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 5:27pm
    d