utama

Covid-19: Selepas 27 hari, satu kematian dicatatkan hari ini

Oleh Mahaizura Abd Malik

SELEPAS 27 hari tiada mangsa dilaporkan maut, hari ini negara mencatatkan satu kematian akibat jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan pertambahan satu kes kematian menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 122 kes setakat hari ini.

Katanya, kes kematian ke 122 (kes ke 8,702) membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 72 tahun yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis.

"Mangsa mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai lalu sebelum ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai lalu.

"Mangsa segera dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak selepas disyaki positif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, selepas disahkan positif wabak itu, kesihatan mangsa bertambah merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10 Julai, jam 5.49 petang.

"KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa," katanya.

Beliau berkata, setakat 12 tengah hari ini, terdapat lapan kes baharu dilaporkan menjadikan 8,704 jumlah keseluruhan kes.

"Ini bermakna jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 67 kes. Mereka sudah diasingkan dan diberikan rawatan.

"Ingin dimaklumkan daripada lapan kes baharu yang dilaporkan, empat daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan empat warga negara Malaysia.

"Selain itu, empat kes penularan di dalam negara pula, dua daripada kes adalah dalam kalangan warga tempatan manakala dua kes lagi adalah bukan warga negara Malaysia," katanya.

Sehingga kini, katanya, terdapat tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di ICU manakala dua lagi kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 5:30pm
    d