utama

14 kes baharu Covid-19

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 14 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari, hari ini, sekali gus 8,718 kes positif keseluruhan direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 14 kes baharu itu, tiga adalah kes import membabitkan warga tempatan yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 11 kes penularan tempatan membabitkan tiga warganegara serta lapan bukan warganegara.

"Dua daripada tiga kes import dilaporkan pulang dari Rusia dan masing-masing sedang dirawat di Hospital Melaka dan Hospital Sungai Buloh, manakala satu lagi kes membabitkan warga tempatan yang pulang dari Jerman yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Lapan kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula adalah kes saringan kontak rapat kepada kes ke-8629 dan kes ke-8630 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang.

"Tiga lagi kes dilaporkan di Sarawak dan Sabah membabitkan kes saringan bergejala di pusat perubatan di Kuching serta satu kes Kluster Kejuruteraan Kuching selain satu kes saringan pra-rujukan ke Hospital Keningau, Sabah," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 77 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Sehingga kini, terdapat tiga kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Selain itu, terdapat empat kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,519 kes dengan kadar kesembuhan 97.7 peratus.

"Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 122 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 5:42pm
    d