utama

Kejam, melemaskan tiga kucing dalam mesin basuh [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahauddin

LULUH hati seorang wanita apabila melihat tiga kucing dibunuh kejam dengan 'dilemaskan' dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong.

Tindakan kejam itu dipercayai dilakukan seorang lelaki berusia 30-an kira-kira jam 5.30 pagi, hari ini.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, kejadian disedari jam 9 pagi oleh seorang wanita berusia 30-an yang mahu menggunakan perkhidmatan di dobi itu.

"Sebaik membuka pintu mesin basuh, wanita itu terkejut sebaik melihat tiga ekor kucing mati dipercayai akibat lemas.

"Wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Ehsan, Kepong, hari ini supaya tindakan segera dapat diambil pihak berkuasa," katanya kepada Harian Metro.

Arie berkata, pihaknya menggesa supaya tindakan segera diambil terutama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) supaya hukuman setimpal dapat dikenakan terhadap lelaki itu.

"Kita menggesa kes ini dibuka mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015, memandangkan ia kes berat kita berharap DVS dapat mengambil tindakan segera.

"Berdasarkan akta ini, pesalah boleh dikenakan hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara setahun hingga tiga tahun," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya mendapati tiga kucing itu adalah kucing jalanan dan pihaknya turut menerima laporan daripada saksi kejadian itu.

Rakaman kamera litar tertutup kejadian itu tular di media sosial hari ini memaparkan seorang lelaki memasukkan tiga kucing ke dalam mesin basuh di kedai dobi berkenaan.

Tindakan kejam lelaki itu menerima kecaman warganet yang mahu tindakan segera diambil pihak berkuasa.

Kejadian kali kedua itu berlaku berikutan pada 5 Disember tahun lalu seorang pekerja kontrak yang memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri dihukum penjara 34 bulan dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 6:29pm
d