utama

Upah tonto cilik RM5

Oleh Zuliaty Zulkiffli

UPAH antara RM5 hingga RM10 kepada kanak-kanak untuk berperanan sebagai tonto.

Kerja kanak-kanak itu mudah, mereka hanya perlu menjerit 'polis mai!' (polis datang) jika kelibat anggota pasukan keselamatan dilihat atau dikesan memasuki kawasan berkenaan.

Itu 'perisai kanak-kanak' digunakan kumpulan penagih dan tokan dadah di kawasan perumahan nelayan Bukit Malut, Langkawi dipercayai untuk membolehkan mereka melarikan diri jika serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Perkara itu turut disahkan Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob mengakui kumpulan terbabit memanipulasi kanak-kanak demi kepentingan mereka.

"Kanak-kanak biasanya dapat upah RM5 atau RM10 sanggup jadi tonto kerana mereka tidak tahu apa-apa dan ini yang membimbangkan kita kerana penagih sudah tahu kehadiran polis.

"Namun kita tidak berputus asa dan akan melakukan pelbagai strategi untuk membanteras kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di negeri ini terutama di Langkawi," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar.

Dalam perkembangan sama, Zainuddin berkata, selain memanipulasi kanak-kanak, pihaknya mengesan pembabitan golongan nelayan berperanan menghantar dadah kepada penagih di kawasan itu.

Mengulas lanjut keseriusan polis membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan, Zainuddin berkata, pihaknya menahan 1,230 penagih di Pulau Langkawi menerusi serbuan dalam tempoh setahun.

"Ia termasuk serbuan di kawasan Bukit Malut yang dipercayai antara kawasan port penagihan dadah," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod tangkapan, Langkawi daerah kedua tangkapan tertinggi di negeri ini selepas Kota Setar.

"Penagih dadah ini tidak kira siapa termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita asalkan mereka boleh melepaskan gian ketagihan dadah.

"Namun golongan remaja antara paling ramai terbabit dalam kegiatan penagihan dadah dan ia membimbangkan," katanya.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Langkawi sudah tiga kali menjalankan operasi khas, di samping serbuan biasa berterusan sepanjang tahun ini Bukit Malut, Langkawi," katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa kawasan yang menjadi port penagihan dan pengedaran dadah dan berharap dengan sokongan masyarakat juga dapat menangani masalah ini.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun sejak 2015, seramai 26,352 penagih dadah ditahan di negeri ini hasil daripada 136,260 pemeriksaan dan serbuan yang dilakukan.

"Kebanyakan yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan mengikut seksyen lain kerana mengedar serta memiliki dadah," katanya.

Untuk rekod, operasi khas diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Langkawi, Asisten Superintendan Meor Hishamudin Alhafiz Mior Salleh dibantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Langkawi baru-baru ini berjaya menahan 80 penagih serta pengedar dadah di pulau itu.

Antara kawasan serbuan seperti Kuah, Teriang, Ayer Hangat dan Bukit Malut.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 7:49am
d