utama

Pelajar meninggal dunia selepas pengsan dalam kelas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PELAJAR lelaki Tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur meninggal dunia selepas dikatakan pengsan di dalam kelas, hari ini.

Pelajar itu, Amiruddin Naim Ariffin, 15, dikatakan dalam keadaan baik dan suhu badannya juga tidak menunjukkan sebarang simptom demam atau tidak normal.

Sumber berkata, pelajar itu berada di dalam kelas sebelum tiba-tiba pengsan.

"Dia kemudian dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan proses bedah siasat akan dijalankan oleh pihak hospital bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 6:59pm
d