utama

Penjenayah selamba larikan Chomel

Oleh Suraya Roslan

"SELEPAS kehilangan Chomel, anak bongsu saya tidak selera makan dan asyik menangis. Kepada penjenayah berkenaan, tolonglah pulangkan segera kucing kami."

Demikian rayuan seorang ibu yang kehilangan kucing dilarikan penjenayah dalam kejadian di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Menceritakan kejadian itu, peguam, Herdawaty Abu Othman, 45, tidak dapat melupakan kejadian kucing betina baka Parsi dilarikan dua lelaki di pekarangan rumahnya kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Herdawaty berkata, ketika kejadian terdapat sebuah kereta dipercayai jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih diparkir di pekarangan rumahnya.

"Ketika kejadian, saya tidak menutup pintu pagar dan dengan selamba kereta berkenaan parkir di pekarangan rumah saya.

"Selepas beberapa minit kereta itu tidak bergerak, saya mula bertanyakan siapa sebelum seorang lelaki ke sangkar kucing dan mengambil Chomel," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kejadian berlaku sekelip mata dan tiba-tiba dia melihat Chomel dilarikan di depan matanya.

"Saya tidak sempat mengejar kereta itu tetapi saya perasan dua lelaki berusia 20-an. Tindakan mereka memang nekad walaupun saya sudah ternampak dan cam muka mereka tetapi penjenayah ini selamba berlalu pergi.

"Saya syak mungkin mereka mahu mencuri kasut tetapi ternampak Chomel," katanya.

Menurutnya, dia sudah membela Chomel lebih sembilan tahun dan kucing itu adalah hadiah hari lahir buat anak bongsunya ketika berusia dua tahun.

"Selepas kejadian, anak perempuan saya tidak selera makan dan kerap menangis kerana kehilangan rakan karibnya.

"Saya mohon sangat pencuri berkenaan pulangkan segera Chomel kerana kami sudah menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri," katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi kira-kira jam 3 pagi hari ini.

Orang ramai yang pernah melihat Chomel boleh tampil menyalurkan maklumat kepada Herdawaty di emel herdawaty_abuothman@yahoo.com.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 8:14pm
d