utama

Nak 'tangkap' rimau

Oleh Firdaus Hashim

PASUKAN Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat amat serius berdepan skuad Harimau Malaya apabila menyenaraikan tiga penyerang naturalisasi menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, 8 Oktober ini.

Panggilan tiga ayam tambatan berasal dari benua Amerika Latin itu akan melengkapkan rangkaian serangan skuad The Whites yang turut menyenaraikan penyerang berbisanya, Ali Mabkhout.

Ali meledak dua gol ketika membenam pasukan negara 2-1 pada aksi pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.

Tiga pemain naturalisasi itu adalah Fabio Lima dan Caio Canedo yang berasal dari Brazil manakala Sebastian Tagliabue dari Argentina.

Berdasarkan perkembangan terkini itu, jelas pengendali baharu UAE, Jorge Luis Pinto enggan memberi muka kepada skuad negara yang turut mengidamkan mata untuk dibawa pulang ke tanah air.

Situasi itu dipantau rapi ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe yang mengakui lawan amat bersungguh-sungguh untuk menumbangkan pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tetap tenang dan menganggap ia sebagai satu cabaran buat anak buahnya apabila bertandang ke gelanggang lawan Oktober depani.

Katanya, meskipun UAE membatalkan saingan liga tempatan mereka, ia bukanlah satu kelebihan buat kem negara kerana sudah tentunya lawan bakal memulakan latihan pusat lebih awal untuk mencari keserasian serta menerapkan falsafah yang dikehendaki oleh Pinto.

"Walaupun liga mereka tak ada (dibatalkan ekoran Covid-19) dan liga kita akan sambung tak lama lagi, saya anggap ia bukan kelebihan buat kita.

"Jurulatih baharu (Pinto) sudah pastikan akan mengumpulkan pemain mereka lebih awal dan ada masa untuk sesuaikan dengan corak permainan atau falsafah permainan dan pemain pun boleh faham apa yang jurulatih itu nak.

"Bagi saya kita kena ambil sebagai satu cabaran dan kita kena bersedia kerana sekiranya mereka dah mula latihan dan sampai bulan Oktober dan ditambah dengan adanya penyerang naturalisasi, saya rasa pasukan itu dalam keadaan cukup-cukup bersedia," katanya kepada Arena Metro.

Berdasarkan rekod jaringan, Lima sudah merekodkan hampir 146 gol sejak 2014, Canedo 27 gol (2015-2020) dan Tagliabue sejumlah 146 gol (2010-kini) dengan kesemuanya adalah dalam liga UAE.

Skuad negara kini menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan sembilan mata daripada lima perlawanan, manakala UAE keempat.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 6:30am
d