utama

Menyusup ala 'komando'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

BERGERAK persis komando apabila pendatang asing tanpa izin (Pati) nekad terjun ke dalam laut sebelum berenang ke arah pantai negara ini.

Kumpulan 14 Pati warga Indonesia terbabit merangkak pantas sebelum bersembunyi di dalam hutan paya bakau berselut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sumber berkata, semua Pati terbabit bagaimanapun berjaya ditahan ketika bersembunyi di kawasan paya bakau berhampiran pesisir Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor, semalam.

Menurutnya, semua suspek ditahan hasil operasi Op Benteng membabitkan kerjasama Kompeni B Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurutnya, dalam kejadian jam 11 pagi itu, APMM menerima maklumat berhubung kemunculan bot pancung di Perairan Bagan Lalang, Sepang.

"Pihak PGA dimaklumkan berhubung kejadian itu segera menggerakkan 11 anggota PGA bagi membantu operasi.

"Ketika pemantauan dilakukan, sebuah bot pancung berwarna kelabu dikesan terapung dan bergerak perlahan menuju ke tepi Pantai Bagan Lalang," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa kemudian melihat beberapa individu terjun ke dalam laut dan meranduk air menuju ke tepi pantai.

"Bot pancung itu kemudian berpatah semula menuju ke perairan Indonesia sebelum hilang.

"Susulan itu pemeriksaan dilakukan di kawasan hutan paya berhampiran lokasi kejadian sebelum pihak berkuasa berjaya menahan 14 Pati sekitar jam 11.30 pagi. Rata-rata Pati terbabit cuba menyeludup masuk ke negara ini dengan menggunakan khidmat bot tekong.

"Semua Pati membabitkan sembilan lelaki dan lima perempuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Kuala Linggi untuk siasatan lanjut," katanya.

Kelmarin, 13 Pati turut berjaya diberkas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cuba menyusup masuk ke negara ini melalui kawasan Ladang Brunai, Bandar Penawar, Johor.

Hasil tindakan pantas anggota Rejimen 61 Artileri Diraja (RAD), enam lelaki dewasa dan tujuh wanita dewasa warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun berjaya ditahan.

Terdahulu ATM turut menahan tiga Pati membabitkan dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia 20 dan 40 tahun dipercayai sedang menunggu bot untuk membawa mereka pulang ke Indonesia.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 7:00am
d