utama

Hanya JDT bertaraf elit

Oleh Syazwan Msar

SEJAUH mana tahap profesional pasukan Liga Malaysia (Liga M)? Perkara terbabit menjadi persoalan apabila sehingga kini hampir semua pasukan Liga M hanya menitikberatkan pemilihan pemain dan barisan kejurulatihan, namun tidak pula memikirkan faktor lain yang turut membantu dalam memastikan mereka boleh terus bersaing secara konsisten.

Hasil kajian pemerhati dan ahli akademik sukan tempatan mendapati hanya ada satu saja daripada 24 pasukan mempunyai kelengkapan merangkumi sains sukan, kumpulan perubatan, kemudahan pemulihan dan pengurusan yang stabil.

Pasukan berkenaan adalah Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali gus tidak hairan mereka mampu mengekalkan kejuaraan enam kali berturut-turut selain mampu menyediakan barisan pemain mantap menerusi gabungan semua kepakaran yang dimiliki pasukan itu.

Perkara terbabit didedahkan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa yang mendakwa majoriti pasukan Liga M belum mencapai tahap profesional terutama penggunaan sains sukan dalam membentuk skuad masing-masing. Malah, ada antara pasukan Liga M boleh dikatakan bagaikan melepas batuk di tangga dengan hanya mengutamakan pemilihan pemain dan jurulatih sekali gus menyaksikan rata-rata daripada mereka tidak mampu bertahan untuk tempoh lama.

"Jangan kata kita tidak mempunyai sumber berkenaan kerana banyak universiti tempatan menyediakan tenaga pakar dalam bidang sains sukan, malah menerusi jalinan kerjasama juga pasukan perubatan boleh dibentuk untuk memastikan pemain sentiasa berada pada tahap optimum.

"Selain daripada JDT, kebanyakan pasukan lain hanya bergantung kepada pihak luar saja jika mereka menghadapi masalah terutama pemain berhadapan dengan kecederaan selain tiada tenaga pakar untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan pemain.

"Jika di negara luar, sains sukan dan perubatan adalah elemen penting dalam pasukan dan sentiasa memastikan perkara terbabit diguna pakai dalam membentuk pasukan mantap," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, beliau berkata, kekangan bajet dan kurang minat menyebabkan pasukan Liga M tidak mahu menerapkan elemen sains sukan dalam membentuk barisan mantap dan lebih mengharapkan kudrat pemain semata-mata untuk memperoleh kejayaan.

"Keupayaan dan kemahiran pemain tidak dinafikan turut penting dalam membantu pasukan, namun jika menggunakan sains sukan dan mempunyai barisan pasukan perubatan sudah tentu kebolehan mereka dapat dipertingkatkan," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 6:30am
d