utama

10 hari kumpul cebisan mayat

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam

"KAMI gunakan kaedah penggalian arkeologi secara berhati-hati sebelum berjaya mengumpul lebih 2,000 cebisan mayat mangsa pesawat MH 17 yang terbenam dalam tanah dalam tempoh 10 hari. Malah, tinggalan rangka pesawat yang meletup turut ditemui."

Itu pendedahan eksklusif Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Hussein Omar Khan kepada wartawan Harian Metro susulan ulang tahun ke-6 tragedi pesawat MH17, semalam.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Databank DNA Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diamanahkan tugas besar mengetuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam misi pencarian baki mayat dan serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MH17).

"Selepas sembilan bulan tragedi pesawat itu ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, saya bersama enam pakar forensik PDRM kembali semula ke lokasi tragedi berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine bermula 14 April 2015.

"Berbekalkan imej satelit selain dibantu pasukan dari Belanda, kami memulakan usaha mencari saki-baki cebisan mayat dan serpihan pesawat MH17 di lokasi tragedi yang masih bergolak," katanya.

Menurutnya, pasukan Australia bagaimanapun enggan turut serta kerana khuatir kewujudan bom jerangkap samar dipasang Kumpulan Pemisah Donestk (DSG) pro-Russia di Timur Ukraine.

"Bagaimanapun kami tetap meneruskan usaha ini walaupun terpaksa berdepan dengan tentera pemisah yang sentiasa mengekori kami bersenjatakan Rifel AK-47. Malah, suhu sejuk sekitar 4 darjah Celsius turut memberi cabaran fizikal.

"Kami menjalankan misi berbahaya ini selama 10 hari. Lebih mencabar apabila operasi mencari cebisan mayat dan rangka pesawat meliputi kawasan seluas 50 kilometer persegi," katanya.

Hussein berkata, tembakan peluru berpandu BUK ke arah pesawat MH17 menyebabkan ada anggota tubuh penumpang pesawat terbenam ke dalam tanah sedalam lebih 0.6 meter sebaik pesawat itu berkecai dan terhempas.

"Ada cebisan mayat mangsa yang turut terbenam ke dalam tanah bersama komponen pesawat MH17.

"Malah, saya tidak dapat melupakan detik ketika berjaya menemui tangan mangsa yang terputus dan terbenam di dalam tanah.

"Saya segera lakukan proses mengorek tanah di kawasan itu secara berhati-hati selepas mengesan objek menyerupai jari manusia. Tugas itu dilakukan berhati-hati menggunakan peralatan khas sebelum keseluruhan tangan kanan mangsa hingga paras lengan berjaya dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, tugasan penuh dedikasi tanpa lelah itu membolehkan pasukan forensik Malaysia mengumpul lebih 2,000 cebisan dan tulang mayat mangsa yang terkorban.

"Kebanyakannya sudah berkecai dan terbakar akibat letupan pesawat. Malah, kami turut berjaya menjumpai bukti serpihan pesawat yang terdapat kesan lubang-lubang tajam kesan letupan peluru berpandu BUK.

"Saya sifatkan semua ini adalah kejayaan besar pasukan Malaysia dalam usaha mencari dan membawa balik bukti jenayah dari kawasan zero zone," katanya.

Menurutnya, pasukan khas Belanda menyatakan rasa kagum dengan kebolehan pasukan Malaysia dalam mengendalikan usaha mengumpul cebisan mayat dan bukti jenayah di lokasi itu.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 7:30am
d