utama

Teruja solek bintang Hindi [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SIAPA sangka bermula sebagai jurusolek pengantin secara kecil-kecilan dan menjadi pembantu membersihkan peralatan, mereka mampu mengorak langkah sehingga diiktiraf ke peringkat antarabangsa.

Bukan saja dapat membina kerjaya sendiri, jurusolek (MUA) turut mencipta nama sebagai juri pertandingan solekan di luar negara.

Bagi Yatie Azraat, 39, dia tidak menyangka kerjanya sebagai penata rias pengantin membolehkannya meraih pengiktirafan tertinggi apabila berpeluang menyolek bintang filem Bollywood, Jackie Shroff yang menjalani penggambaran di negara ini tahun lalu.

"Saya memulakan kerjaya sebagai jurusolek pengantin pada 2004 dengan bayaran dikenakan hanya RM350.

"Selepas itu, saya menyertai pertandingan solekan anjuran MBMUAA yang diadili pakar solekan seperti Rina Derina, Ella Sandera dan ramai lagi.

"Daripada situ, saya mulakan kerjaya sebagai jurusolek kesan khas untuk program realiti, sitkom, drama dan filem termasuk produksi antarabangsa sejak dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya, pengalaman diperoleh ketika menata rias artis terkenal cukup berharga.

"Ada pelbagai jenis MUA, ada yang buat untuk perkahwinan serta kesan khas dan lain-lain.

"Untuk kerja setengah jam, saya pernah dibayar RM2,500 untuk satu sesi solekan persandingan.

"Bergantung kepada komitmen kerja sebenarnya, kalau lebih lama masa diambil atau memerlukan lebih kemahiran dan komitmen, maka lebih besar pendapatannya," katanya yang turut menjadi jurusolek untuk produksi filem dari Indonesia sebelum ini.

Berkongsi pengalamannya untuk menata rias wajah Jackie Shroff, Yatie berkata, pada mulanya ketika dimaklumkan peluang itu, dia agak terkejut namun berazam untuk memberikan yang terbaik.

"Bila Jackie sampai, saya siapkan peralatan untuk digunakan dan mulakan solekan. Memang teruja kerana saya tahu dia bintang antarabangsa yang tersohor.

"Dia memang profesional dan senang bekerja dengannya. Pada waktu singkat, solekan untuk penggambaran itu siap," katanya.

Menurut Yatie, dia kini fokus untuk solekan definisi tinggi (HD) yang masih baru di negara ini.

Mula dengan bersih berus

Bermula sebagai pembersih berus hampir 20 tahun lalu, dia sendiri tidak nampak masa depan sebagai jurusolek (MUA), apatah lagi tiada pengalaman langsung berkaitan kerjaya berkenaan.

Namun berkat ketabahan dan sokongan daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam industri, nama Rina Derina, 49, kini cukup dikenali sebagai antara MUA terbaik industri hiburan tanah air.

Nama seperti Noraniza Idris, Iqram Dinzly, Izzue Islam dan ramai lagi antara bintang seni tanah air yang pernah mendapat sentuhan magis Rina.

"Saya pernah lakukan bermacam-macam kerja daripada tukang bersih peralatan untuk solekan, bawa beg dan kerja lain seperti kru memasak di sebuah hotel.

"Semua itu tidak memberi 'jiwa' kepada saya sehinggalah saya ditawarkan menjadi pembantu kepada seorang jurusolek terkenal.

"Daripada situ, saya berazam untuk terus fokus demi mencari rezeki," katanya.

Menurutnya, dia kemudian terus mengorak langkah sebelum mendapat tawaran solekan untuk produksi drama serta filem tempatan.

Katanya, antara kunci kejayaan MUA termasuk perlu berdisiplin kerana mereka menawarkan khidmat kepada pelanggan.

"Saya pernah bekerjasama dengan beberapa produksi antarabangsa, melatih lebih 500 MUA termasuk pelajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

"Bidang solekan ini mempunyai masa depan, namun banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengangkat bidang ini ke satu piawaian tersendiri," katanya.

Rina berkata, pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika dia menata rias bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan dan Priyanka Chopra.

Katanya, ia memberikan suntikan semangat kerana sebelum ini, dia tidak pernah terlintas untuk sampai ke tahap itu sebagai MUA.

"Pada awal pembabitan, saya pernah terima bayaran RM150 untuk kerja solekan. Kini, Alhamdulillah, harga yang dibayar juga tinggi.

"Kerja seperti ini mungkin orang tidak pandang, tetapi setiap MUA perlu ada kualiti sendiri. Kini saya lebih tumpukan kepada solekan definisi tinggi (HD)," katanya.

Lima jurusolek sudah bergelar jutawan

Kerjaya sebagai jurusolek (MUA) sudah melahirkan sekurang-kurangnya lima jutawan yang mempunyai rangkaian perniagaan sendiri di Malaysia ketika ini.

Presiden Persatuan Jurusolek Bumiputera Malaysia (MBMUAA) Rosnawati Salleh berkata, disiplin seseorang MUA itu adalah kunci sebenar kejayaan mereka, bukan saja menempa nama dalam industri, malah perniagaan.

Katanya, ketika ini, MBMUAA mempunyai 380 ahli di seluruh negara yang aktif dalam pelbagai disiplin solekan dan mereka diterapkan dengan asas keusahawanan.

"MBMUAA ditubuhkan pada Jun 2015 untuk melatih MUA supaya berjaya dan dibimbing mengikut kesesuaian.

"Ramai yang berjaya dan jadi jutawan dengan perniagaan masing-masing. Bidang solekan ini banyak, ada yang buat untuk produksi filem, perunding majlis perkahwinan dan tenaga pengajar," katanya.

Lebih dikenali dengan panggilan Rose Jr, beliau berkata, ketika ini, ramai MUA tanah air perlu belajar untuk berjaya dan setanding dengan MUA luar.

Katanya, MBMUAA juga berperanan untuk melahirkan jurusolek berjaya dalam bidang mereka serta perniagaan termasuk mempunyai produk sendiri.

"Penentuan harga juga antara yang dibimbing kerana setiap MUA akan mempunyai standard tersendiri satu hari nanti.

"Saya sendiri sudah lebih 20 tahun dalam industri ini, saya buat kelas keusahawanan, bincang dengan Kementerian Pembangunan Usahawan sebelum ini untuk pastikan MUA mengambil peluang yang ada.

"Saya harap MUA baru ambil peluang sebaiknya untuk berjaya dan tingkatkan kemahiran untuk lebih berdaya saing," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 8:01am
d