utama

25 tahun tubuh 'terlipat'

Oleh Agensi

Beijing: Seorang petani di China yang sebelum ini digelar 'orang lipat' kerana keadaan tubuhnya yang melentur ke depan kini mampu berjalan semula.

Ia selepas lelaki itu menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya.

Media sebelum ini melaporkan Li Hua, 46, yang berasal daripada keluarga miskin di wilayah Hunan mengalami masalah tulang yang jarang berlaku sejak berusia 19 tahun.

Masalah tulangnya itu menyebabkan dia tidak dapat berdiri tegak, makan dan berjalan dengan sempurna sejak lebih 25 tahun lalu.

Dengan seluruh tubuhnya kelihatan melipat, Li digambarkan sebagai satu-satunya pesakit di China memiliki dagu di dada, tulang dada pada bahagian sulit dan wajah pada tulang paha.

Masalah serius pada tulang belakang itu juga boleh memberi tekanan pada jantung, paru-paru selain hilang fungsi untuk beberapa organ lain sehingga boleh menyebabkan kematian.

Keluarganya tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi mendapatkan rawatan lanjut.

The Sun melaporkan kehidupan sehariannya sejak itu bergantung sepenuhnya kepada ibu, Tang Dongchen yang sudah tua untuk membantu menguruskan aktiviti dan keperluan harian.

Dalam tempoh 10 tahun sebelum menjalani pembedahan, keadaan kesihatannya semakin merosot dan hanya dapat mendongak sebanyak 1.86 sentimeter saja.

Semuanya berubah apabila Li menjalani pembedahan di Hospital Umum Universiti Shenzhen di selatan China antara Jun hingga Disember tahun lalu.

Tetapi, bagi tujuan itu, dia bersama ibunya yang berusia 71 tahun perlu menempuh perjalanan sejauh lebih 800 kilometer untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Namun, semuanya seakan berbaloi apabila pembedahan itu berjaya.

Li kini boleh berdiri dan berjalan dengan bantuan walker, biarpun untuk tempoh yang singkat.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 7:00am
d