utama

Keadaan bayi dicampak dari tingkap stabil

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KEADAAN bayi lelaki yang dipercayai dicampak sebaik dilahirkan oleh seorang remaja perempuan sebelum terjatuh di bumbung rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham, Ipoh, semalam dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, bayi berkenaan yang sebelum ini berada dalam keadaan kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Sebelum ini bayi itu dalam keadaan kritikal dan diberikan bantuan pernafasan. Ketika ini dia dilaporkan stabil.

"Ibu bayi yang berumur 16 tahun pula masih menerima rawatan, jadi buat masa ini kita belum menyoal siasat ibu mangsa untuk mengetahui perkara sebenar kerana tidak mahu dia berasa tertekan," katanya.

A Asmadi berkata, hasil soal siasat mendapati keluarga suspek tidak mengetahui kehamilan remaja berkenaan.

"Ibu suspek tidak tahu anaknya mengandung namun sedar badan suspek sedikit berisi.

"Ibu suspek tiada di rumah semasa kejadian kerana ke pasar manakala bapanya berkerja membawa lori," katanya.

Beliau berkata, ibu suspek memberitahu mereka sekeluarga baru berpindah ke Ipoh dari Rawang, Selangor kira-kira sebulan lalu.

A Asmadi berkata, hasil soal siasat terhadap saksi utama iaitu jiran suspek memaklumkan terdengar bunyi dentuman di bumbung sebelum menjenguk melalui tingkap bilik dan ada melihat bayi di bumbungnya.

"Jiran kemudian memberitahu isteri dan seterusnya menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian," katanya.

Beliau berkata, suspek pada awalnya tidak mengaku itu adalah anaknya tetapi selepas didesak, dia mengangguk dan memberitahu bapa bayi itu adalah teman lelakinya yang tinggal di Rawang.

"Suspek tidak mahu bercakap apa-apa lagi dan banyak menangis. Suspek masih ditahan wad kerana mengalami pendarahan dan uri masih dalam perut," katanya.

Katanya, siasatan di tempat kejadian pula mendapati terdapat kesan darah pada cadar dan jeriji tingkap bilik suspek.

"Dipercayai suspek melahirkan bayi dalam tandas dan menggunting tali pusat sendiri," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada jam 12.35 tengah hari daripada orang awam.

Bayi itu dicampak remaja perempuan dari tingkap biliknya yang terletak di belakang rumah berkenaan dengan ketinggian kira-kira sembilan meter.

Berita berkaitan

Campak bayi baru lahir dari tingkat dua

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 2:27pm
d