utama

Jangan tunggu lama-lama

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Selepas kewujudan sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang melahirkan pelbagai atlet bertaraf dunia, sudah tiba masanya Malaysia mengorak selangkah lagi dengan mewujudkan sebuah universiti sukan.

Kewujudan universiti itu dijangka dapat memperkembangkan lagi industri sukan negara dengan bukan saja melahirkan atlet bertaraf dunia, tapi jurulatih, tenaga pengajar, usahawan, fisioterapi dan pelbagai lagi bidang berkaitan sukan.

Setidak-tidaknya walaupun belum sampai ke tahap universiti, mungkin penubuhannya boleh dimulakan dengan mewujudkan di peringkat institut.

Ataupun, jika isu kewangan menjadi penghalang, kerajaan boleh mewujudkan universiti sukan dengan menjenamakan semula universiti sedia ada berbanding membina sebuah universiti baharu yang sudah tentu membabitkan dana besar terutama ketika kesan pandemik Covid-19 masih dirasai.

Jika universiti sukan dapat diwujudkan, sudah tentu masa depan pelajar sekolah sukan lebih terjamin dan meyakinkan golongan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka aktif dalam sukan sejak kecil, sekali gus dapat memastikan negara memperoleh kelompok atlet terbaik.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, kewujudan universiti itu bukan hanya tertumpu untuk melahirkan atlet saja, malah pelbagai bidang termasuk perniagaan.

"Kajian teliti harus dilakukan untuk melaksanakan hasrat mengadakan universiti sukan. Idea ini baik dan perlu dibentuk dengan mengadakan kertas kerja sebelum ia dibentangkan oleh menteri," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini perkara berkenaan pernah dibangkitkan, aspek fasiliti dan kemudahan lain harus dititikberatkan.

"Jalan mudah adalah menggunakan kampus sedia ada dan pada masa sama mempunyai fasiliti lengkap sebelum ia ditukarkan menjadi universiti sukan.

"Jika tiada fasiliti memang sukar, ia antara persoalan perlu dijawab terlebih dulu. Kita perlu mengambil serius perkembangan industri sukan dan jika universiti sukan diwujudkan, sektor pelancongan sukan, kejuruteraan sukan, semuanya bergabung kepakaran di universiti bawah satu bumbung.

"Sekolah sukan pula akan bertindak sebagai feeder kepada universiti sukan. Jadi tidak ada benda yang mustahil, semua harus datang dengan kehendak, kemahuan dan paling penting kewangan negara," katanya.

Tiga tahun lalu ketika di bawah mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, perkara ini pernah dibangkitkan dengan Terengganu menawarkan diri untuk mewujudkan universiti sukan.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 6:40am
d