utama

Kasih opah beza agama [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

TANPA ayah dan ibu di sisi, dua beradik, Jhoshua Arifazul Akhbar, 13, dan adiknya Madinatul Zulhaziah, 9, bergantung hidup dan menumpang kasih dengan nenek kandung mereka, Lucy Nawi, 59, yang beragama Kristian.

Dua beradik itu tinggal bersama Lucy sejak bapa mereka M Zulkifli Tedung tidak dapat menjaga mereka atas sebab tertentu.

Menurut Lucy, perbezaan agama sedikit pun tidak menggugat kasih sayang antara mereka.

Malah, hanya dia sandaran buat Jhoshua dan Madinatul memandangkan ibu kandung mereka yang juga warga Indonesia hilang tanpa khabar berita sejak 2013.

Berkongsi pengalamannya, Lucy yang menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan berkata, selain menyediakan tempat tinggal dan keperluan asas, dia turut bertanggungjawab memastikan kedua-dua cucunya itu tidak ketinggalan menunaikan kewajipan sebagai Islam iaitu solat lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadan.

"Ikutkan, saya menjaga Jhoshua dan Madinatul sejak kecil lagi dan mengambil alih tanggungjawab menjaga kedua-duanya sejak bapa mereka tidak dapat menjaga mereka.

"Memandangkan mereka berdua sudah besar dan boleh menguruskan diri sendiri, saya hanya perlu memasak dan menyediakan keperluan asas.

"Makanan dimasak adalah daripada sumber halal dan sebagai penjaga, saya juga perlu peka dan ingatkan mereka untuk menunaikan solat apabila tiba waktunya, mengaji dan berpuasa di bulan Ramadan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Demi menyara kedua-dua cucunya itu, Lucy bekerja di kedai dobi.

Katanya, pendapatan diterima kurang RM800 sebulan dan wang itu yang digunakan untuk menyara kedua-dua cucunya, membayar sewa rumah, belanja persekolahan harian dan lain-lain keperluan hingga ada kalanya terpaksa mengikat perut.

"Apa yang saya mampu sediakan untuk Jhoshua dan Madinatul hanyalah tempat tinggal dan keperluan asas, tidak lebih daripada itu.

"Ini kerana pendapatan saya tidak seberapa dan Jhoshua juga hanya dapat bersekolah sehingga tahun enam saja kerana saya tidak mampu menanggung persekolahannya lagipun dia bukan warganegara jadi ada masalah kerana tiada kad pengenalan.

"Jadi, hanya adiknya Madinatul yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuah," katanya yang turut mempunyai sewa bulanan rumah tertunggak berjumlah RM1,050.

Menurut Lucy, kedua-dua cucunya itu terutama Jhoshua pernah bertanya bila dia mahu memeluk Islam.

"Jhoshua pernah beberapa kali bertanya dan memujuk saya untuk memeluk Islam dan saya hanya menjawab hati saya belum terbuka ke arah itu.

"Saya tidak marah atau tersinggung dengan pertanyaannya sebaliknya meminta dia doakan saya supaya diberi hidayah," katanya yang juga ibu tunggal.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas MyKasihCare, Syed Shukri Nizam Jaafar berkata, pihaknya tahu mengenai kehidupan Lucy dan dua cucunya itu selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Menerusi hasil maklumat diterima itu, kami berkunjung ke rumahnya dan menyampaikan bantuan kewangan serta keperluan dapur.

"Kami juga bawa Jhoshua ke klinik untuk berkhatan dan akan berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mendaftarkan semula sekolahnya dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi permohonan kad pengenalan.

"Selain itu, kami akan memanjangkan hal ini kepada pejabat agama daerah bagi membantu mereka," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 6:50am
d