utama

Dipukul mati akibat kerap terkencing merata

Oleh Balqis Jazimah Zahari

AKIBAT marah dengan tindakan rakan sebilik asyik membuang air merata-rata, seorang lelaki pesakit mental memukul dan menumbuk rakannya sehingga mati di sebuah pusat jagaan pesakit mental di Tambun, Ipoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa berusia 57 tahun disyaki dipukul rakan sebiliknya berusia 53 tahun.

Katanya, kejadian berlaku pada 8 pagi itu disedari pesakit lain yang kemudian memaklumkan kepada penjaga sebelum mangsa disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke hospital.

"Kejadian berpunca akibat mangsa asyik terkencing dan membuang air dan perkara itu membangkitkan kemarahan suspek lalu memukul mangsa.

"Berlaku kekecohan dan rakan lain yang nampak mangsa tidak sedarkan diri terus memohon bantuan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

A Asmadi berkata, pukulan itu mengakibatkan kesan lebam pada muka, mata, bawah mata serta leher mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dalam bilik dan terdapat beberapa katil termasuk katil mangsa.

"Terdapat 50 penghuni termasuk tiga wanita dan tempat ini tidak menyediakan kamera litar tertutup (CCTV).

"Mangsa mungkin tidak boleh hendak bergerak sangat membuatkan dia membuang air di merata tempat, kejadian dikatakan sudah banyak kali berlaku, suspek mungkin sudah tidak tahan dengan keadaan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi mendapati terdapat kesan darah pada dinding bilik berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menunggu hasil bedah siasat untuk tindakan selanjutnya berikutan kejadian berlaku di pusat jagaan mental.

"Kami sedang menyemak rekod sama ada pusat jagaan ini berdaftar atau tidak.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tetapi disebabkan suspek pesakit mental, dia akan menjalani pemeriksaan psikiatri bergantung kepada hasil bedah siasat," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 7:27pm
d