utama

Conteng mural pemimpin: Kelibat dua wanita dirakam

Oleh Norzamira Che Noh

DUA wanita dipercayai menjadi dalang yang merosakkan mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.

Kelibat dua wanita itu dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mula tular sejak tengah hari tadi.

Rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan sebuah kereta diletakkan di sebelah lorong lukisan mural berkenaan sebelum kelibat dua individu itu muncul.

Mereka dipercayai menconteng kata-kata kesat terhadap gambar pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum beredar.

Terdahulu pada pagi ini, video yang mempamerkan mural berkenaan diconteng dengan kata-kata kesat tular di media sosial.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera dengan memadam keseluruhan mural itu dengan mengecat semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk memburu individu yang bertanggungjawab.

Mural berkenaan adalah hasil karya tiga anak muda sebagai tanda penghargaan kepada barisan pemimpin negara terutamanya dalam usaha menangani Covid-19.

Hasil karya itu juga menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong yang mana baginda mencemar duli melihat sendiri mural berkenaan pada 10 Julai lalu.

Selain Yang di-Pertuan Agong, mural berkenaan turut memaparkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Berita berkaitan

Conteng mural pemimpin: Sultan Selangor murka

Conteng lukisan mural pemimpin: MBSA lapor polis

Kecewa mural diconteng [METROTV]

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 8:32pm
d