utama

Ucapan pelik Kanye

Oleh AFP

Washington: Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Kanye West melancarkan kempen bagi pemilihan Presiden AS pada November ini, semalam.

Ketika pelancaran kempen itu, penyanyi terbabit menangis dan ucapannya dikatakan meleret panjang.

Kanye dalam ucapannya mendakwa beliau mahukan isterinya, Kim Kardashian menggugurkan kandungannya ketika hamil dengan anak pertama mereka.

Beliau juga mendakwa pejuang hak kulit hitam dan pengharaman perhambaan, Harriet Tubman, sebenarnya tidak membebaskan hamba abdi.

"Harriet Tubman sebenarnya tidak pernah membebaskan hamba, beliau hanya minta mereka bekerja untuk orang kulit putih yang lain," katanya dalam acara di Charleston, South Carolina.

Menurutnya, beliau mahukan isterinya menggugurkan kandungan ketika hamil dengan anak perempuan sulung mereka, North.

Kanye turut mendedahkan bapanya juga mahukan ibunya menggugurkan beliau ketika dalam kandungan.

"Bapa saya mahu gugurkan saya. Ibu saya selamatkan nyawa saya. Tidak akan wujud Kanye West kerana bapa saya terlalu sibuk. Saya hampir bunuh anak saya! Saya hampir bunuh anak saya!".

Klip video ucapan Kanye yang menjadi tular di media sosial itu mencetuskan kekeliruan, kemarahan dan kerisauan terhadap kesihatan mental penyanyi itu.

Media AS melaporkan, acara berkenaan hanya dibuka kepada jemputan khas saja dan semua yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka serta menandatangani surat pengecualian liabiliti terhadap Covid-19 selain mengamalkan penjarakan sosial.

Ketika hanya tinggal kurang empat bulan sebelum pemilihan presiden pada November ini, Kanye, 43, membuat kejutan pada 4 Julai lalu apabila mengumumkan menerusi ciapan Twitter bahawa mahu mencabar Trump.

Beliau, yang menjadi terkenal apabila memakai topi tertera slogan 'Make America Great Again' ketika bertemu Trump di Rumah Putih pada 2018, tidak mengemukakan sebarang butiran mengenai kempennya.

Bagaimanapun, bintang hip-hop itu berkata beliau kini tidak lagi menyokong Trump sebagai Presiden AS.

Minggu lalu, media AS melaporkan West menarik diri daripada pemilihan presiden kerana tarikh tutup bagi pencalonan presiden sudah tamat di kebanyakan negeri, namun difahamkan nama beliau tersenarai di Oklahoma.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:30am
d