utama

Tunggu dua dekad

Oleh Saiful Affendy Sapran

SEPANG: Bukan projeķ ekspres, sebaliknya Malaysia memerlukan tempoh antara 15 hingga 20 tahun lagi untuk melihat pemandu tempatan beraksi semula bersama jentera Formula Satu (F1).

Demikian jangkaan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif menjawab hasrat rakyat Malaysia untuk melihat pelumba tempatan kembali memandu jentera F1 sejak penampilan kali pertama dan terakhir Alex Yoong pada 2002.

Azhan yang lebih senang disapa Shaf berkata, Malaysia tidak boleh terburu-buru untuk meletakkan anak tempatan beraksi di F1 kerana proses pembangunan satu-satu pelumba itu cukup penting.

"Sasaran untuk meletakkan pemandu di F1 bukan projek jangka pendek. Kalau kita bermula sekarang, mungkin 15 hingga 20 tahun kemudian baru kita ada seseorang dari Malaysia yang isi tempat duduk F1.

"Dalam soal pembangunan pelumba, kita selalu terburu-buru (mahu melihat pelumba) bertukar dari satu perlumbaan ke perlumbaan lain yang lebih tinggi. Sebenarnya kita kena bagi masa kepada pelumba ini untuk asah bakat mereka dalam setiap siri perlumbaan disertai.

"Tambahan lagi, setiap kali pelumba beraksi di perlumbaan F4, F3, F2 dan kemudian F1, mereka memerlukan peruntukan dan sokongan kewangan agak tinggi. Pendek kata untuk melahirkan perlumba F1 perlukan sokongan pihak swasta dan kerajaan," katanya ketika temuramah eksklusif bersama Arena Metro.

Untuk itu, di bawah kepimpinannya di SIC, beliau akan berusaha untuk memastikan pembangunan pemandu berbakat jentera empat roda tidak akan ketinggalan, sebaliknya seimbang bersama pembangunan pelumba jentera dua roda.

Sementara itu menjawab bilakah F1 akan kembali dianjurkan di Malaysia selepas kali terakhir pada 2017, Shaf mengakui tidak mempunyai jangkaan tepat.

"Jika satu hari nanti F1 berminat untuk kembali ke Malaysia dan tawarannya juga agak menarik serta boleh dipertimbangkan, kita akan berbincang dengan pihak kerajaan.

"Sebab yuran untuk menyertai F1 memang agak tinggi berbanding MotoGP. Keputusan sama ada F1 akan kembali ke Malaysia harus dibuat secara menyeluruh," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:40am
d