utama

Mampu sogok puluhan ribu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

TANGGAPAN umum bahawa pendatang asing Rohingya adalah golongan miskin mungkin perlu dinilai semula apabila mereka dikesan mampu menyogok puluhan ribu ringgit kepada agensi penguatkuasaan.

Terbaru pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki warga Myanmar selepas cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membabitkan wang sebanyak RM25,000 bagi tujuan melepaskan 25 orang pendatang tanpa izin (Pati) dalam satu cubaan menyeludup ke Malaysia.

Kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 29 dan 35 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong yang terbabit secara aktif dalam kes penyeludupan manusia di daerah Langkawi, khususnya membabitkan pendatang tanpa izin berbangsa Rohingya.

Sumber berkata, dua individu itu ditangkap pada jam 3.35 pagi semalam hasil perangkap diatur ketika suspek cuba menyogok pegawai penguatkuasa APMM untuk melepaskan 25 pendatang Rohingya yang sudah mendarat dan ditahan di Langkawi.

"SPRM akan memberikan tumpuan kepada kes rasuah atas kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Kedua-dua individu ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"SPRM akan menyerahkan kedua-dua suspek kepada pihak polis bagi diambil tindakan di bawah Akta Pemerdangan Manusia selepas siasatan SPRM selesai," katanya.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan itu ketika dihubungi.

Sementara itu, dalam kes berasingan SPRM menahan seorang pengurus kanan sebuah agensi syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) kerana disyaki terbabit menerima rasuah.

Sumber berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Difahamkan, pengurus kanan cari gali yang diamanahkan untuk menguruskan projek kerja berkaitan carigali minyak itu mengambil kesempatan dengan meminta wang rasuah sebagai balasan memberikan kontrak kerja carigali minyak di Terengganu.

"Suspek dipercayai menerima wang rasuah dalam lingkungan RM300,000 bagi kontrak kerja cari gali minyak di Terengganu.

"Susulan itu suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam dan permohonan reman dibenarkan selama lima hari," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan menyatakan siasatan sedang dijalankan berhubung dengan kes ini.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 7:01am
d