utama

Tumpang rezeki anak

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ANAK adalah rezeki buat setiap pasangan yang bergelar suami isteri. Tentunya, setiap rumah tangga akan lebih meriah dengan kehadiran cahaya mata.

Bagi mereka yang bergelar selebriti yang sentiasa sibuk dengan jadual kerjaya padat namun, itu bukan halangan untuk mereka berkeluarga 'besar'.

Jika diamati, rata-rata selebriti yang memiliki ramai anak ini sebenarnya menamatkan zaman bujang ketika masih dalam usia muda sekali gus bergelar ibu bapa muda tatkala mendapat cahaya mata.

Bagi pelakon dan pengacara, Norman Hakim, 44, kehadiran enam cahaya mata dalam kehidupannya membawa rezeki yang melimpah ruah.

Walaupun nampak mencabar, itu tidak pernah menjadi beban buat dirinya, malah mengukuhkan lagi hubungan setiap anggota keluarga yang memainkan peranan masing-masing.

Norman dikurniakan enam anak hasil perkahwinan bersama Abby Abadi, 42, dan Memey Suhaiza, 32.

Hasil perkongsian hidup dengan Abby, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim,17, Marissa Dania Hakim, 15, dan Maria Danisha Hakim, 12.

Bersama Memey pula mereka dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 7, Muhammad Dikhriz Hakim, 5, dan Mikayla Delisha Hakim, 2.

Walaupun nampak mencabar, itu tidak pernah menjadi beban buat dirinya, bahkan mengukuhkan lagi hubungan setiap anggota keluarga yang memainkan peranan masing-masing.

"Apa yang boleh saya katakan, saya memiliki satu 'pasukan' mantap dalam keluarga dan masing-masing tahu peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul.

"Demi anak-anak, semua berikan yang terbaik dan sejujurnya, kalau saya perlu melakukannya secara sendirian, ia akan menjadi sangat berat. Tapi, dengan adanya setiap anggota keluarga, semuanya jadi ringan," katanya.

Bercerita mengenai rezeki, Norman mengakui bahawa keluarga adalah hakikat sebenar kehidupan.

"Di luar, saya keluar mencari rezeki. Tapi, apabila pulang ke rumah, saya akan melihat sendiri hakikat sebenar kehidupan iaitu keluarga dan itulah dunia kami sekeluarga.

"Saya percaya bahawa kami ibu bapa menumpang rezeki anak-anak. Setiap kali dikurniakan cahaya mata, ia bukan beban, tetapi satu cara untuk kita bekerja lebih keras bagi mencari rezeki dan menampung keluarga," katanya.

Menurut Norman, dia bersyukur kerana dikurniakan isteri serta bekas isteri yang saling bantu-membantu antara satu sama lain.

"Memey dan Abby memang sangat rapat dan peranan mereka adalah sebagai perancang, manakala saya dan Jai (suami Abby) pula bertindak sebagai pelaksana yang merealisasikan rancangan mereka.

"Contohnya, kalau ada sebarang percutian atau acara keluarga, merekalah yang akan merancang segala-galanya dari segi tema, makanan, aktiviti dan sebagainya," katanya.

Mengimbau kisah pertama kali bergelar bapa pada usia 26 tahun, Norman mengakui sudah merancang untuk menjadi bapa di usia muda.

"Di awal perkahwinan, kalau boleh nak dapat anak dalam usia saya masih muda, jadi bila anak dah membesar, saya dapat jadi 'kawan' mereka.

"Jadi, 17 tahun lalu, saya dikurniakan anak sulung kami, Mohamed Danish Hakim dan apa yang dirancang, kini mula jadi kenyataan," katanya.

Menurutnya, jarak usia antara dia dengan anaknya tidak menjadi penghalang untuk dia menjadi tempat anaknya berkongsi pendapat.

"Hubungan antara saya dengan anak bukan sekadar antara bapa dengan anak, tetapi juga sebagai kawan baiknya. Kami berkongsi ilmu dan pengetahuan.

"Mereka adalah generasi millenium. Jadi, pendekatannya juga sudah berbeza dan saya sendiri sentiasa belajar benda baru untuk disesuaikan dengan cara penerimaan anak-anak," katanya.

Anak kandung, anak tiri tiada beza

Peluang menjadi ibu kepada empat anak kandung dan empat anak tiri memberi pengalaman berbeza buat pelakon Lisdawati, 42, apabila mereka semua tinggal sebumbung dengannya.

Lisdawati yang berkahwin dengan pelakon, Fauzi Nawawi pada 9 September 2007 dikurniakan empat anak iaitu Faryhana, 12; Fazneesya, 11; Fyrdaus, 6; dan Fayyadh, 2.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Fauzi mempunyai empat anak iaitu Fatihah, 25; Fareez Hazwan, 23; Hanna Farisha, 21; dan Fikri Hakimi, 18.

Fareez juga adalah juara program Mentor Milenia 2016 dengan menjadi protégé Hazama.

Tinggal bersama lapan anak, Lisdawati sudah menganggap anak-anak tiri itu seperti anak kandungnya sendiri.

"Saya tak gelarkan atau rasa mereka seperti anak tiri kerana saya anggap seperti anak sendiri kerana semuanya membesar dan tinggal dengan saya. Walaupun ramai, saya bersyukur kerana kelapan-lapan anak saya ini mampu berdikari dan tahu untuk menjaga diri masing-masing," katanya.

Satu penerapan yang diterapkan dalam keluarga Lisdawati dan Fauzi adalah hubungan rapat antara setiap anggota keluarga.

"Sejak mereka kecil lagi, saya dan suami sudah terapkan mengenai hubungan antara anggota keluarga dan biar mereka rapat antara satu sama lain.

"Jadi, kalau kami keluar bekerja pun, mereka ada untuk menjaga satu sama lain. Anak-anak yang lebih besar boleh tengok-tengokkan adik mereka," katanya.

Ditanya sama ada dia dan suami merancang untuk memiliki ramai cahaya mata, Lisdawati berkata, dia hanya menyerahkan semua itu kepada Allah.

"Kami tak merancang pun. Lagipun, bila berkahwin saya sudah ada empat anak hasil perkahwinan terdahulu suami saya.

"Jadi, apabila dikurniakan empat lagi cahaya mata, ini adalah rezeki dan apa yang Allah beri, kami terima. Sekarang pun, saya dah masuk 42 tahun. Jadi, rasanya dah cukup," katanya.

Lisdawati menekankan kesabaran menjadi kunci dalam setiap rumah tangga yang ada ramai cahaya mata.

"Apa yang penting adalah kesabaran. Tanpa kesabaran, susah untuk kita dapatkan kata sepakat dan kemuafakatan. Satu lagi yang saya boleh kongsikan adalah apabila ayah 'berbunyi' (menegur), ibu jangan turut serta berbunyi sama. Biar adil dan sekurang-kurangnya, anak-anak ada tempat untuk mengadu," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 8:00am
d