utama

16 kes baharu Covid-19 termasuk lapan kes import

Oleh Saipul Adli Mohamad dan Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 16 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini, sekali gus merekodkan 8,831 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 16 kes baharu itu, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan empat warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

Beliau berkata, lapan kes import itu adalah dari India (2 kes), Rusia (2 kes) serta masing-masing satu kes dari Arab Saudi, China, Indonesia dan Korea.

Katanya, daripada lapan kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah warganegara Malaysia dan satu kes bukan warganegara iaitu kes saringan untuk berlepas ke luar negara apabila pesakit tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

"Perincian kes penularan dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia adalah tujuh kes di Sarawak membabitkan tiga kes daripada Kluster Stutong; satu kes daripada Kluster Sentosa dan satu kes daripada Kluster PUI Melbourne.

"Selain itu, satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-8695) yang merupakan ahli keluarga kepada kes berkenaan dan satu kes saringan kembali bertugas di sekolah apabila pesakit tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah kepada 142 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya menerusi kenyataan media harian Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,566 kes dengan kadar kesembuhan 96.9 peratus.

Beliau berkata, sehingga kini, lima kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 123 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 5:22pm
    d