utama

Perketat syarat lantik jurulatih

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) diseru supaya memperketatkan syarat kepada individu yang mahu memohon lesen kejurulatihan terutama buat mereka yang tidak memiliki pekerjaan lain.

Ia selepas wujud ada sesetengah individu yang sudah memiliki pekerjaan tetap namun turut bergelar jurulatih profesional sekali gus menutup peluang buat jurulatih yang tidak bekerja khususnya bekas pemain.

Menurut bekas penyerang kebangsaan dan Kelantan, Hashim Mustapha, beliau kecewa dengan sistem yang ada ketika ini di mana wujud sedikit kelompongan yang akhirnya memberi kesan kepada bekas pemain yang bergelut untuk mencari pasukan.

Katanya, kisah sedih yang ditanggung oleh Khalid Jamlus adalah salah satu contoh di mana seorang bekas pemain yang hebat suatu ketika dulu gagal mendapatkan tempat selaku jurulatih biarpun dia juga mempunyai lesen jurulatih.

"Apa yang jadi kepada Khalid adalah contoh bagaimana ada kelonggaran dalam sistem jurulatih di negara ini.

"Saya harap FAM, MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan PJBM (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia) boleh melihat dan mengkaji semula mengapa bekas-bekas pemain yang ada lesen tapi susah nak dapatkan pasukan.

"Kalau boleh ketatkan syarat permohonan lesen hanya diberikan kepada individu yang tidak ada kerja. Sekarang ada juga individu yang bekerja tetap dan dalam golongan profesional boleh ambil lesen dan bawa pasukan yang dalam liga tempatan sama ada peringkat senior atau junior.

"Sepatutnya yang mana sudah ada kerja tetap tak perlu ambil, tetapi kalau dah rezeki dia nak buat macam manakan. Cuma kalau boleh wujudkan syarat itu supaya nampak sistem kita betul," katanya.

Sebelum ini, bekas pemenang kasut emas Liga M 2002, Khalid Jamlus terpaksa melelong medal, jersi dan anugerah kasut emasnya itu ekoran sudah tiga tahun tidak bekerja selepas kali terakhir melatih pasukan PDRM FC tiga tahun lalu.

Walaupun sudah berusaha keras mencari pasukan, namun Khalid tetap gagal melatih mana-mana pasukan meskipun pengalamannya ketika bergelar pemain cukup hebat.

Jelas Hashim yang juga pernah dinobatkan penjaring terbanyak liga tempatan selama dua musim berturut-turut dari 1993 dan 1994 memahami masalah yang dihadapi Khalid itu.

Tetapi dalam pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan kepada generasi sekarang supaya sentiasa beringat dengan membuat simpanan dari sekarang.

"Bayangkan dalam situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini di mana hampir tiga hingga empat bulan tak ada bola sepak, lagi teruk bekas-bekas pemain yang tidak bekerja.

"Saya pun dah tak melatih pasukan sekarang ditambah masalah kesihatan sebelum ini. Tapi Insya Allah, lepas ini saya akan kembali melatih pasukan cuma belum tahu lagi pasukan mana," katanya yang melatih skuad Piala Presiden Kelantan musim lalu.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 10:56pm
d