utama

Pelitup muka fabrik punca makcik 'wristband' positif Covid-19

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SIASATAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati wanita memakai gelang kuarantin Covid-19 yang tular di laman sosial bersama anak lelakinya yang positif Covid-19 berpunca daripada pemakaian pelitup muka jenis fabrik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua beranak di Ipoh, Perak itu berkemungkinan mendapat jangkitan import dari United Kingdom.

"Siasatan awal kami mendapati pelitup muka yang dipakai mereka adalah jenis fabrik bukan kegunaan perubatan.

"Hasil saringan Covid-19 mengesahkan anaknya disahkan positif Sabtu lalu dan sedang dirawat di hospital," katanya kepada Harian Metro.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan kontak rapat dua beranak itu.

Terdahulu, gambar wanita terbabit tular di media sosial selepas dikatakan sedang menikmati hidangan di medan selera yang difahamkan di Bandar Meru Raya, Ipoh, dalam keadaan memakai gelang kuarantin Covid-19 sekali gus menimbulkan kegusaran serta kecaman warganet.

Saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita berusia 72 tahun itu positif dan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sejak 17 Julai lalu.

Berita berkaitan

Identiti makcik 'wristband' dikenal pasti

'Tak periksa pergelangan tangan dia, cuma ikut SOP disarankan'

JKNP cari makcik tular

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 8:01pm
    d