utama

Jual mangkuk tandas curi di Facebook

Oleh Melvin Joni

DUA lelaki yang cuba menjual mangkuk tandas dan sinki di Facebook (FB) ditahan polis di Kuching selepas dipercayai barangan berkenaan dicurinya.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, kedua mereka ditahan semalam, sehari selepas mereka dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Jalan Semariang.

Menurutnya, suspek berusia 26 dan 29 tahun itu dikesan hasil risikan oleh Task Force Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching ketika mereka cuba menjual hasil curi berkenaan menerusi dalam FB.

"Bagaimanapun, taktik mereka itu berjaya dikesan dan polis serta merampas seunit mangkuk tandas daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awang Din berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan itu mengaku memecah masuk dan mencuri mangkuk tandas serta sinki baharu daripada rumah yang baharu siap dibina dan belum didiami itu.

Menurutnya, mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu.

Katanya, semakan rekod jenayah juga mendapati seorang daripada suspek terbabit mempunyai satu rekod jenayah.

"Kedua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuching hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 11:41am
d